Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi memberikan jaminan
bahawa pihak kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan
Awam (SSPA) yang ditangguhkan sebelum ini.
Perdana Menteri memberitahu skim tersebut tidak dapat dilaksanakan
tahun lalu kerana Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan kewangan yang
merumitkan daripada pentadbiran terdahulu.
"Kita lihat prestasi penjawat awam umumnya sangat membangakan
dan kita (perlu) menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan
munasabah kepada penjawat awam.
"Saudara harus percaya kita tidak dapat segerakan pada tahun
lalu kerana kita mewarisi hutang RM1.5 trilion dengan defisit sekitar 5.6
peratus," katanya ketika berucap merasmikan Peluncuran Sistem Pangkalan
Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya
hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya bersyukur hasil
kerjasama Jemaah Menteri dan penjawat awam serta swasta, defisit tersebut
berjaya dikurangkan kepada 5 peratus.
"Maknanya kalau kita ada fokus jelas dan komitmen, iltizam,
laksanakan dengan baik (itqan fil amal), saya percaya kita boleh lakukan
sebagaimana unjuran yang dilakukan oleh PADU," katanya.
November lalu, Anwar dilaporan berkata, skim gaji baharu untuk
penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun ini selepas beberapa garis
panduan akan disediakan.
Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengumumkan pemberian
Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke
bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk
veteran berpencen dan tidak berpencen.
Terdahulu dalan ucapannya Perdana Menteri memberikan penghargaan
kepada jentera kerajaan yang mampu membuktikan keupayaan membangunkan PADU
tanpa menggunakan khidmat konsultasi antarabangsa.
Beliau dalam ucapannya turut memuji keupayaan jentera kerajaan
yang mampu membangunkan sistem baharu untuk kerajaan dan tidak menggunakan
konsultan luar seperti sebelum ini.