PADU: Celikkan rakyat tentang transformasi digital, elak ketirisan subdisi




 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan hari ini adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati segala kemudahan kerajaan termasuk subdisi dengan lebih berkesan.



Perdana Menteri berkata melalui sistem berkenaan, sebarang ketirisan dalam proses penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan.



"Kita bangunkan sistem negara yang lebih canggih, yang mampu bersaing. Perlu tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, banyak kebocoran dan penipuan



"Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara," katanya ketika berucap melancarkan sistem tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.



Hadir sama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiusaha Negara Tan Sri Sri Mohd Zuki Ali



PADU yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.



PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) selain kerjasama pelbagai agensi lain.



Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata menegaskan penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan terlalu kaya dan sebanyak 3.5 juta warga asing di negara ini mendapat manfaatnya.



Jelas beliau, dalam banyak kajian yang dilakukan menyatakan subdisi kerajaan tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar.



"Subsidi diberi kerajaan dikira dengan nilai ringgit sekarang cecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki," katanya.



Sebagai contoh katanya, amalan negara sebelum ini yang memberikan subsidi kepada semua rakyat hingga membolehkan golongan kaya turut mendapat manfaat meskipun mereka menggunakan elektrik jauh lebih tinggi.



"Hasilnya kalau ikut unjuran dapat jimat RM4 bilion kerana subdisi tidak diberikan kepada golongan maha kaya dan warga asing. Yang masih menerima subsidi 85 peratus rakyat. Tetapi insentif lain diteruskan dan tahun lalu lonjakan pelaburan tinggi," katanya.



Anwar berkata kemampuan membangunkan sistem PADU jelas menujukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada perunding antarabangsa yang melibatkan kos tinggi.



Sementara itu, Anwar meminta Ketua Setiausaha Negara memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat iaitu bukan sahaja mahu menjamin bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasaran malah ia melibatkan penyertaan masyarakat.



Beliau mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar tidak mengabaikan masyarakat miskin bandar, pedalaman dan desa dalam pelaksanaan PADU.



"Kaedah PADU memaksa setiap warganegara faham mengenai transformasi digital dan guna sistem PADU dan ia menunjukkan ada kecelikan budaya dan digital," katanya



PADU dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sehingga 31 Mac ini bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.



Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU itu bermulai hari ini hingga 31 Mac ini.