Daim Zainudin akan didakwa Isnin ini


 

Bekas Menteri Kewangan era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan didakwa Isnin ini.



Menurut kenyataan media Daim, pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.



"Peguam saya dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin 29 Jan atas kesalahan bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan pengisytiharan aset," kata kenyataan itu dipetik FMT.



Daim juga memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil kenyataannya semalam.



Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan Daim “berkemungkinan besar” didakwa di mahkamah minggu depan selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis.



SPRM menjelaskan siasatan terhadap Daim bermula pada Februari 2023 berdasarkan pembongkaran dalam Kertas Pandora yang mengaitkan beberapa tokoh terkemuka di Malaysia dengan aktiviti menyimpan dana di bank luar pesisir.



Agensi antirasuah tersebut telah memanggil isteri Daim, Naimah Khalid dan anak-anak mereka, Amir dan Amin, untuk memberikan maklumat mengenai aset milik keluarga berkenaan.



Pada 23 Jan lalu, Naimah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang mengkehendaki pengisytiharan aset seperti pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta kenderaan.



Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

 

No comments: