Ahli AMANAH jangan ulas serangan Pas terhadap DAP - Mohamad Sabu


 

Ahli akar umbi dan kepimpinan AMANAH dinasihatkan tidak memberi reaksi terhadap serangan Pas yang berterusan terhadap DAP.



Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, serangan Pas itu tidak perlu dilayan kerana pendirian Pas yang berubah ubah dan pada waktu ini berikutan parti tersebut terdesak setelah percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan selama setahun menemui kegagalan.



Katanya, tiada guna ahli AMANAH masuk ke dalam 'permainan' Pas yang menjadikan UMNO musuh ketat akidah mereka selama puluhan tahun tetapi pada 2018 boleh berubah menjadi rakan tahaluf dalam Muafakat Nasional hampir sekelip mata.



"Sejarah pertembungan akidah paling lama diajar oleh Pas ialah pertembungan akidah dengan UMNO.



"Sebelum ini, bagi mereka pertembungan dengan UMNO bukan sekadar politik tetapi melibatkan hukum hakam sehingga terdapat yang melarang berimamkan dan memakan sembelihan orang UMNO.



"Namun pasca kemenangan Pakatan Harapan 2018 yang menggabungkan AMANAH, PKR, DAP dan BERSATU, Pas segera bekerjasama dengan UMNO bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. Ketika itu segala hukum hakam dan pertembungan akidah dengan UMNO digugur segera oleh Pas.



"Begitu juga dengan DAP. Hubungan Pas lebih lama dengan DAP dan ketika bersama, mereka sentiasa memuji DAP yang dikatakan sentiasa menghormati Perlembagaan dan hak-hak demokrasi. Tetapi hari ini mereka memberi komen yang buruk kepada DAP.

Perkara ini perlu diabaikan oleh pendokong AMANAH," katanya dalam satu kenyataan.



Mohamad juga memberi andaian mudah, sekiranya pada waktu ini AMANAH memutuskan hubungan dengan DAP maka sekelip mata pula Pas akan segera menghulurkan tangan kepada DAP yang memiliki 40 kerusi parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.



"(Maka) segala kecaman mereka kepada DAP akan bertukar segera kerana bagi mereka ialah kekuasaan yang menjadi matlamat utama daripada segala-galanya.



"Oleh itu kekal tenang, dan tidak perlu melayan sikap mereka (Pas). Tiba masa kita akan menyaksikan perubahan-perubahan sikap mereka," katanya sinis.