Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia menyokong dan menaja bersama draf resolusi Perhimpunan
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) mendesak gencatan senjata
kemanusiaan segera dilakukan di Gaza semalam, kata Wisma Putra.
Resolusi bertajuk "Protection of civilians and upholding
legal and humanitarian obligations" itu diterima dalam Sesi Khas Tergempar
(ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang
manakala 23 berkecuali.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata melalui resolusi itu, UNGA PBB
menyatakan keprihatinannya terhadap masalah kemanusiaan yang berlaku di Gaza
dan mendesak genjatan senjata segera.
"Perhimpunan itu juga menuntut pembebasan segera tawanan
tanpa syarat selain memastikan juga tiada halangan ke atas akses bantuan
kemanusiaan," kata kenyataan Kementerian Luar hari ini.
Kenyataan itu menyebut, sokongan padu terhadap resolusi itu oleh
sekumpulan negara rentas rantau mencerminkan komitmen masyarakat antarabangsa
untuk mencari penyelesaian adil, berkekalan dan damai terhadap konflik
Palestin-Israel.
"Ini menjadi lebih mendesak memandangkan tragedi kemanusiaan
mengerikan di Semenanjung Gaza akibat keganasan berterusan Israel,"
menurut Wisma Putra.
ESS ke-10 disambung semula atas permintaan bersama Liga Arab dan
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS)
menggunakan kuasa veto pada Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu terhadap
resolusi yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan kezaliman di
Gaza.
Malaysia bersama Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos,
Maldives, Namibia, Afrika Selatan, Thailand, Timor-Leste dan Turkiye menyokong
permintaan bersama itu.
Tegas Wisma Putra, Majlis Keselamatan jelas gagal melaksanakan
tanggungjawabnya dan penerimaan resolusi itu mengesahkan semula peranan penting
Perhimpunan Agung dalam perkara yang berkaitan keamanan dan keselamatan
antarabangsa.
"Majlis Keselamatan tidak sepatutnya mengabaikan desakan
golongan majoriti berbanding kepentingan diri segelintir pihak," bidas
kenyataan itu.
Selain itu, resolusi berkenaan turut menggesa semua pihak untuk
mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa termasuk
undang-undang kemanusiaan antarabangsa terutamanya berkaitan perlindungan orang
awam.
"Malaysia menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian yang
berkekalan terhadap malapetaka yang menghancurkan itu ialah dengan memberikan
rakyat Palestin negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967
dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," katanya.
Terdahulu UNGA PBB menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan
senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa.
Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir dengan 153
undi menyokong pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas
tergempar mengenai Palestin.
Sepuluh negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria
mengundi menentang resolusi itu manakala 23 negara termasuk United Kingdom
(UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.