Kabinet mengukuhkan kedudukan bukan kerajaan ULASAN-MSO

 

Kabinet mengukuhkan kedudukan bukan kerajaan

ULASAN


Anwar Ibrahim ambil
hati semua pihak.
KIRA-KIRA pukul 11:15 minit pagi tadi Anwar Ibrahim telah menoktahkan persoalan mengenai rombakan kabinetnya yang pertama. Anwar mengumumkan jemaah kabinetnya dengan sedikit perubahan serta penambahan setelah genap setahun kerajaan Perpaduan. 

Rombakan itu dinanti dan ditunggu setelah setahun kerajaan dibentuk apabila disedari ada beberapa kelemahan kerana kegagalan menteri melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. 

Dalam rombakan tadi beliau mengumumkan kemasukan semula bekas anggota kabinet semasa kerajaan PH dan PN lalu ke dalam kabinetnya. Mereka ialah Gobind Singh Deo, Dr Dzulkifli Ahmad, Johari Ghani dan seorang muka baru Amir Hamzah Azizan. 

Rombakan itu juga membabitkan pertukaran portfolio dan juga tambahan dua kementerian. Dua kementerian baru diwujudkan, Kemterian Digital pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital, dipegang oleh Gobind Singh Deo, satu lagi ialah Tenaga dan Perubahan Iklim dipegang Nik Nazmi Ahmad dipecah menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Dayaguna Awam dipindahkan ke Timbalan Perdana Menteri Fadzilah Yusof. 

Manakala satu lagi kementerian baru diwujudkan Kementerian Wilayah yang berada di Jabatan Perdana Menteri diwujudkan semula dipegang Dr Zaliha Mustapa yang sebelum ini menjadi menteri Kesihatan.  

Seorang lagi bekas menteri dizaman kerajaan BN dibawa masuk ke kabinet ialah Johari Ghani untuk memegang kementerian Perladangan dan Komoditi.

Dalam penyusunan tadi, seorang menteri digugurkan, Sivakumar Varatharaju sebelum ini menteri Sumber Manusia yang diganti dengan bekas timbalan Kewangan Steven Sim. 

Beberapa timbalan menteri juga digugurkan dan berubah potfolio, antaranya Aiman Atirah Sabu ke kementerian Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir ke kementerian Peralihan Tenaga dan Dayaguna Awam.

Harapan kecewa.

Harapan orang ramai untuk melihat berlaku perubahan atau pengguguran terhadap beberapa menteri yang sebelum ini diramal akan berlaku kerana prestasi mereka tidak memuaskan bagaimana pun tidak menjadi kenyataan apabila mereka masih dikekalkan sebagai menteri walaupun setengahnya dengan mengurangkan tanggungjawab mereka.

Saifuddin Nasution Ismail masih kekal di Kementerian Dalam Negeri, Mohamad Sabu di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Fadzlina Siddiq di Kementerian Pendidikan, Fahmi Fadil di Kementerian Komunikasi dengan dikurangkan tanggungjawab apabila diwujudkan Kementerian Digital dipegang Gobind Singh Deo.

Begitu juga Nik Nazmi Nik Ahmad, yang memegang kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kekal bagaimana pun kementeriannya dipecah dengan diwujudkan kementerian Peralihan Tenaga dan Dayaguna Awam yang diletak dibawah Fadzilah Yusuf. 

Hanya Mohd Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution, Fadzlina Siddiq tidak terbabit pertukaran dan perubahan kementerian. Pengurangan tugas dan tanggungjawab mereka itu menjelaskan perdana menteri tidak berpuas hati dengan prestasi mereka?

Sementara itu pengambilan muka baru, bekas menteri Johari Ghani, Noraini Ahmad dari Umno sebagai menteri dan timbalan menteri dilihat disamping untuk memantapkan kerajaan ia untuk mengukuhkan kedudukan presiden Umno. 

Begitu juga dengan pertukaran kementerian antara Zambery Abdul Kadir ke Kementerian Pengajian Tinggi mengambil alih tempat Khaled Nordin yang beralih ke Kementerian Pertahanan dan Mohamad Hassan yang kini ditukar ke Kementerian Luar mengambil alih tempat Zambery, lebih berdasar atau mirip kepada kedudukan mereka dalam parti semata-mata. 

Peralihan itu tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada kerajaan sebaliknya mengekalkan status quo untuk mempertahankan kedudukan Zahid sebagai presiden parti.

Tampak dalam pembentukan dan pengambil muka baru dilakukan Anwar Ibrahim tadi berimbangan dari kalangan parti-parti gabungan PH dan BN. Anwar juga berhati-hati dan menjaga hati semua pihak. Dari parti Amanah, Dr Dzulkifli dibawa semula semula sebagai menteri. Kemasukan Dr Dzulkifli itu tidak menambah jumlah menteri daripada Amanah dan ia sebagai pengganti kepada Allahyarham Salahuddin.

Adly Zahri timbalan menteri pertahanan yang dikira akan dinaikkan pangkat menjadi menteri namun tidak berlaku dan beliau kekal di Kementerian Pertahanan sebagai timbalan. Sebaliknya tempat ditinggal Salahuddin itu diganti oleh Armizan Mohd Ali yang memangku jawatan itu.

Manakala dari DAP, pengguguran Sivakumar Varatharaju sebagai Menteri Sumber Manusia diganti oleh Steven Sim. DAP beruntung kerana mendapat tambahan seorang lagi menteri Gobind Singh Deo yang dilantik menjadi menteri Digital. 

Kesimpulannya rombakan kabinet hari ini tidak mempunyai signifikan untuk meperkukuhkan kerajaan sebaliknya lebih kepada pengisian jawatan dikosong yang ditinggal oleh Allahyarham Salahuddin Ayub sambil melakukan pertambahan anggota kabinet dari 28 orang 31 orang dan dalam situasi sama mengukuhkan kedudukan politik ketua parti politik masing-masing. 

Kalau pun ada perubahan ketara dan bakal diperhatikan ialah kemasukan tokoh teknokrat Amir Hamzah Azizan bekas Ceo KWSP yang dilantik sebagai Menteri Kewangan ke-II yang akan bertindak membantu Anwar. Yang lain tiada apa-apa perubahan ketara. Sudah pasti prestasi Amir Hamzah akan dinilai dan KPI akan diletakkan buatnya. 

Anwar memilih teknokrat untuk menjabat jawatan itu mungkin untuk memastikan hegemoni politiknya tidak tergugat dan terjamin daripada melantik individu dari kalangan parti politik yang tidak menjamin kedudukannya. Amir Hamzah sebagai teknokrat akan berkerja mengikut iktisadnya dan tidak memperhitungkan politik seperti mana Tengku Zafrul.  

Sudah semestinya sebagai perdana menteri selain untuk melihat jemaah menterinya mantap dan melaksanakan tanggungjawab dengan mampan, beliau mahu mengawal kedudukan untuk tidak terdedah dengan manipulasi politik kepentingan mana-mana pihak. Sesungguhnya Anwar masih terus dilanda ujian dan kemampuan sebagai perdana menteri selepas ini kerana perubahan kabinet dilakukan itu tidak menjamin beliau diterima umum.  

Apapun rombakan kecil kabinet dan membawa masuk beberapa bekas menteri itu Anwar berjaya menokhtah persoalan mengenai kabinetnya. Suara pahat pasti akan berbunyi selepas ini dan itu adalah lumrah, pahat berkokok selepas rumah siap. Namun setidak-tidaknya Anwar telah membaiki kedudukan "rumahnya" yang kuat dikritik pembangkang dan penganalisa politik sebelum ini.

Rombakan dan penyusunan kabinet baru itu pasti tidak memuaskan banyak pihak kerana apa yang mereka harap-harapkan khusnya menggugurkan menteri yang lemah dan digantikan dengan tokoh idola yang mereka harapkan tidak berlaku.

No comments: