BERSATU TERIMA PADAH KERANA SALAH MEREKA SENDIRI, KATA KJ


 Tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang menolak satu peruntukan dalam draf akta antilompat parti sebelum ia dikuatkuasakan sebelum ini ternyata memberi padah kepada parti itu apabila beberapa Ahli Parlimen mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan, kata Khairy Jamaluddin.

Mendedahkan perkara itu Khairy berkata, menteri dan wakil rakyat Bersatu menolak cadangan asal yang dibawa Menteri Undang-Undang ketika itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung klausa “wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen”.

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan berkata, pemimpin Bersatu bertegas menentang klausa tersebut apabila ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hingga ia dikeluarkan daripada rang undang-undang itu.

Bersatu sebelum ini adalah sebahagian kerajaan gabungan yang menyokong pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Ironinya, bila dibawa ke Jemaah Menteri, untuk dibincang draf ini, antara paling lantang menentang adalah Ahli Parlimen Bersatu, menteri-menteri Bersatu, iaitu mereka dari PN sekarang.

“Mungkin sebab mereka juga ada pengalaman melompat (parti). Ironinya menteri-menteri yang bantah draf asal, kini jadi mangsa terhadap draf yang telah dipinda dan diluluskan,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Pada Rabu lalu, Suhaili memaklumkan sudah menerima peruntukan bagi kawasannya selepas menyatakan sokongan kepada pentadbiran Anwar.

Khairy berkata Wan Junaidi dapat mengesan kelompongan dalam Akta Anti-Lompat Parti, bagaimanapun, katanya, “lubangnya terlalu besar”, sambil menambah Bersatu ketika ini juga tidak dapat berbuat apa-apa.

“Sekarang ini, Ahli Parlimen ini akan jadi Ahli Parlimen ‘zombi’. Maknanya Bersatu tak boleh pecat, mereka tak boleh sertai BN-PH atau PN, dia hidup macam ‘zombi’ dan akan dapat peruntukan,” katanya.


Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa undang-undang lompat parti sebagai cacat dan perlu dikaji semula. Katanya, terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi parti politik.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/catego