Zainuddin Omar
Siapa beri arahan?
Banyak persoalan boleh dijawab oleh Sirul tetapi tentu ada pihak yang tidak senang selepas beliau dilepaskan.
*************
Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006, dilaporkan dibebaskan daripada Villawood Detention Centre di Sydney, Australia semalam.
Menurut laporan The Daily Mail, ia selepas mahkamah tinggi negara itu pada 8 November lalu memutuskan penahanan imigresen tanpa tempoh ditetapkan bertentangan dengan undang-undang.
Susulan keputusan itu, Menteri Imigresen Australia Andrew Giles dan Menteri Dalam Negeri Clare O'Neil dalam kenyataan bersama berkata, kerajaan menimbang pendekatan lain yang wajar bagi menjamin keselamatan komuniti.
Mereka berkata individu yang dibebaskan atas arahan mahkamah tinggi akan dikenakan syarat visa yang sesuai, selaras dengan keperluan melindungi komuniti.
Syarat-syarat tersebut akan ditetapkan berdasarkan keadaan invidivu terbabit, kata mereka.
Menurut The Sydney Morning Herald, seramai 92 orang dibebaskan dan dibenarkan kekal di Australia di bawah syarat khas yang ditetapkan.
Menurut laporan itu lagi, anak Sirul, Shukri Azam yang tinggal di Canberra mengesahkan pembebasan bapanya.
“(Dia kini) ada bersama saya, dan saya sedang uruskan semua perkara bagi pihaknya,” katanya seperti dipetik.
Pada April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Sirul dan Azilah Harun - kedua-duanya bekas anggota pasukan komando khas polis - atas kesalahan membunuh Altantuya.
Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di penjara di Malaysia sementara Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap mereka.
Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia. Dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.
Malaysia pula pada masa ini mengenakan moratorium terhadap hukuman mati, dengan tiada banduan yang dikenakan hukuman itu sejak 2017.