Selepas empat Ahli Parlimen Bersatu mengumumkan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim demi untuk mendapat peruntukan, Pengerusi PN Mahiaddin Md Yasin beberapa hari lalu meminta agar akta lompat parti perlu dikaji semula.
Ini kerana, kata bekas Perdana Menteri itu, masih wujud kelompangan di dalam akta berkenaan.
Susulan itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan, kelompongan berkenaan adalah disebabkan pemimpin-pemimpin PN sendiri.
Khairy Jamaluddin atau KJ berkata, menteri dan wakil rakyat Bersatu menolak cadangan asal yang dibawa Menteri Undang-Undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung klausa “wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen”.
KJ seterusnya menambah, pemimpin Bersatu bertegas menentang klausa tersebut apabila ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hingga ia dikeluarkan daripada rang undang-undang itu.
Berikutan itu, Saifuddin Nasution Ismail dan Wan Junaidi tampil mengesahkan apa yang disebut KJ itu.
Selaku Setiausaha Agung PKR dan Ketua Setiausaha PH yang menggotai jawatankuasa teknikal bagi menggubal akta berkenaan bersama dua lagi wakil PH, Gobind Singh Deo dan Hanipa Maidin pada 2022, Saifuddin Nasution berkata, pendirian PH ialah wakil rakyat yang bertindak bertengangan dengan pendirian parti perlu mengosongkan kerusi mereka.
“PN masa itu diwakili Hamzah (Zainuddin) dan Takiyuddin (Hassan). PN tidak setuju dengan cadangan PH di atas,” katanya.
Menurut beliau, disebabkan bantahan PN itu, Wan Junaidi selaku pengerusi jawatankuasa itu terpaksa mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti saja akan diterima.
Wan Junaidi pula memberitahu, ketika mengetuai pasukan khas bagi menggubal akta lompat parti, beliau sudah menyelesaikan sebarang kemungkinan kelompangan menerusi draf asal penggubalan RUU berkenaan.
Bagaimanapun katanya, draf asal yang disiapkan pada April 2022 itu ditolak jemaah menteri susulan terdapat empat menteri kabinet tidak bersetuju dengan salah satu klausa disertakan.
“Apabila draf asal ditolak barisan kabinet, saya terpaksa mengadakan semula libat urus dengan semua parti politik dan merombaknya,” jelas beliau.
Wan Junaidi berkata, beliau kemudian telah memberi amaran mengenai kelompangan akta berkenaan kepada jemaah menteri berikutan draf asal yang ditolak itu.
Berdasarkan rentetan peristiwa di atas, kelompangan dalam akta lompat parti sehingga menikam diri Bersatu dan PN apabila empat Ahli Parlimennya bertindak menyokong kerajaan adalah disebabkan bantahan oleh Hamzah dan juga Takiyuddin terhadap draf asal itu.
Kiranya mereka sama pendirian dengan PH mahukan akta lompat parti yang benar-benar ketat, apa yang berlaku hari ini pasti tidak berlaku.
Kenapa mereka ketika itu membantah dan tidak setuju dengan akta lompat parti yang lebih ketat?
Apa agenda mereka?
Dalam hal ini, sebelum PN terus bercakap mengenai kelompangan dalam akta lompat parti, lebih baik mereka memanggil Hamzah dan Takiyuddin terlebih dahulu untuk memberi penjelasan.
Di peringkat ini, kalau ada yang mahu disalahkan lantaran sudah empat Ahli Parlimen PN beralih arah menyokong kerajaan, mereka itu tidak lain ialah Hamzah dan Takiyuddin. – ShahbudinHusin 12/11/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/11/12/pn-wajib-tuntut-penjelasan-hamzah-takiyuddin.html