RAFIZI – SELAIN TIADA MASALAH PERTAHAN SELANGOR, NS DAN PP, UNDI PH/BN JUGA AKAN BERTAMBAH

 

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata Kerajaan Perpaduan tiada masalah mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Malah, beliau percaya undian terhadap Kerajaan Perpaduan di tiga negeri yang secara tradisinya dikatakan sebagai ‘kubu kuat’ Pakatan Harapan (PH) akan bertambah dengan sokongan daripada pengundi Barisan Nasional (BN).

“Di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan memang saya nampak tiada masalah.

“Pada pendapat saya, undi Melayu di ketiga-tiga negeri ini melepasi paras untuk kita kekal menang.

“Sementara di Kedah dan Kelantan, ada lonjakan yang baik dari segi sokongan, cuma oleh kerana asas kekuatan undi penyokong Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) ni memang dah tinggi, jadi keadaan masih dapat dilihat sehingga minggu terakhir ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Jelajah Madani di Telok Ayer Tawar di Tasek Gelugor, semalam.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata setakat ini, PN dilihat masih kekal ‘di hadapan’ di Terengganu. 

Mengulas mengenai peralihan sokongan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang daripada antara 30 hingga 31 peratus tiga minggu lalu kepada 42 peratus, Rafizi berkata sebahagian besar pengundi atas pagar mahukan parti politik yang mempunyai idea dan pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah mereka seperti ditawarkan oleh manifesto PH-BN.

Katanya kelebihan PN ialah sekadar memiliki ahli politik yang mempunyai watak seperti ‘pelawak’ ketika berkempen menarik pengundi.

“Bagaimanapun saya yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal di Pulau Pinang tapi kita jangan ambil mudah dan kita perlu menyentuh setiap kumpulan pengundi terutamanya daripada bukan Melayu,” katanya.

Sumber – Bernama


No comments: