Calon DUN Seberang Jaya ketengahkan AkuJanji


 Oleh: Abdullah Zaid


Takkala Pakatan Harapan dan Barisan Nasional membentangkan Manifesto Perpaduan kelmarin, calon DUN Seberang Jaya Datuk Seri Johari Kassim juga mengetengahkan AkuJanji buat pengundi di kerusi itu.


Berbekalkan pengalaman menjadi Ahli Majlis di DUN tersebut, sudah pasti calon KEADILAN itu memahami denyut nadi dan keperluan pengundi Seberang Jaya.


"Di sini isu-isu rumah kos rendah selalu berlaku jadi langkah awal yang bakal dibuat ialah mengadakan perjumpaan melibatkan persatuan bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi selama ini," katanya kepada Suara Keadilan.


Selain itu, anak jati negeri tersebut juga ingin meneruskan hasrat menambah baik penempatan semula penjaja supaya masyarakat setempat lebih selesa untuk berjual beli.


"Masalah penjaja yang berselerakkan perlu disusun semula dan ditempatkan di premis yang kondusif.


"Justeru, saya berhasrat untuk melaksanakan idea itu agar penjaja dapat berniaga dengan lebih selesa," ujarnya lagi.


Sementara itu, pada 2 Ogos lalu, PH-BN Pulau Pinang melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama antaranya cakna kebajikan dan memperjuang sosioekonomi rakyat.


Tawaran tersebut antara lain ialah kesinambungan yang menyentuh isu dasar, polisi dan rekod prestasi Kerajaan Negeri selama 15 tahun ini.


Antara manifesto yang ditawarkan ialah penubuhan Tabung Pembangunan Sosial Negeri, memberi bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40 dan memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

No comments: