Adakah mentadbir dengan cemerlang bukan sebahagian dari agama?


Nik Hasyudeen.


Saya suka membaca kisah-kisah semasa pentadbiran Umar Al Khattab. Di kala itu Islam berkembang dengan luas menjadikan pentadbiran dan pengurusan negara menjadi semakin kompleks.


Di antara kaedah penting pentadbiran di ketika itu ialah perlantikan gabenor dan pegawai utama. Amirul Mukminin mentadbir melalui gabenor-gabenor yang dilantik di pelbagai jajahan Islam. Ini juga memerlukan gabenor-gabenor dipantau agar mereka menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan berkesan seperti mana yang dikehendaki oleh Amirul Mukminin.


Ada banyak kisah bagaimana Umar berurusan dengan gabenor-gabenor yang merupakan sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Saad Abi Waqas, Amr Ibnu Al-As dan juga Abu Ubaidah Al-Jarrah. Jika ada aduan dari rakyat, Umar akan memberi respon walaupun ada ketika aduan-aduan itu tidak benar.


Satu kisah yang saya ulang apabila membincangkan berkenaan kecemerlangan pentadbiran ialah apabila Umar melawat Syam. Gabenor Syam di ketika itu ialah Abu Ubaidah. Umar menyuruh Abu Ubaidah membawa dia ke rumahnya. Abu Ubaidah mengingatkan Umar bahawa Umar akan menangis apabila melihat rumah Abu Ubaidah.


Apabila sampai dan apabila Umar melihat sendiri bahawa Abu Ubaidah sebagai Gabenor di wilayah yang bersempadan dengan kerajaan Rom hanya tinggi di dalam kediamanan yang kecil dan hanya ada beberapa alatan asas sahaja, Umar menangis. Umar menyatakan bahawa dunia tidak boleh menipu Abu Ubaidah yang tidak mengambil sedikit pun kesenangan dari jawatan besar yang dia pegang.


Yang lebih menarik ialah status Abu Ubaidah itu sendiri. Di samping termasuk di dalam 10 orang yang dijamin syurga, dia juga digelar oleh Rasulullah SAW sebagai “Amin” umat ini. Dia orang yang paling beramanah. Namun, status berkenaan tidak mengecualikan Abu Ubaidah dari proses pengawasan Umar Al Khattab.


Dari meneliti kisah-kisah pentadbiran Umar Al Khattab, saya membuat kesimpulan bahawa setiap orang yang beliau lantik perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab jawatan dengan sebaik mungkin. Tak kira nama dan status kesyurgaan mereka, mereka diselia oleh Umar dengan kaedah yang sama.


Mesej kepada kita ialah seorang itu dinilai berdasarkan kepada prestasi kerja berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Nama, gelaran dan imej tidak diambil kira. Dapat kerja kena buat, bukan hebat mencari alasan.



No comments: