'Infineon labur 5 bilion Euro bincang dengan PM, bukan MB Kedah'

 



Perbincangan di antara syarikat semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) untuk melabur sejumlah 5 bilion Euro di Kulim Hi Tech Park dilakukan antara wakil syarikat itu dan Perdana Menteri Malaysia, bukannya pihak lain.



Oleh itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kenyataan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor kononnya keputusan pelaburan berkenaan telah dibuat bertahun dahulu hasil usaha pentadbiran beliau.



"Saya mahu cerita terus terang, MB Kedah banyak pusing (spin). Dia tipu senang sahaja, orang pun kata... ya, Allahuakhbar.



"Saya beri fakta. Bulan sudah wakil Infineon datang jumpa saya. Saya panggil Tengku Zafrul MITI (Menteri Perdagangan Antarabangsa).



"Dia (wakil Infineon) kata ada RM5 bilion Euro, (bersamaan) RM15 bilion nak labur. Sekarang kita tengok, Malaysia, Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa negara lain. Dia tanya saya, kita bincang. Saya kata mesti (labur di) Malaysia sebab saya berikan alasannya.



"Dia beritahu saya point (yang dipertimbangkan) Malaysia ini, pertama politik stabil, kuat. Kedua, polisi ekonomi baik. Ketiga, tak ada menteri cari komisen.



"Tetapi dia kata belum ada keputusan. Tunggu menyuarat Lembaga Pengarah di Bonn, Jerman. Apa Sanusi kata, sudah ada keputusan 3 tahun lalu.



"Dan dia (Infineon) buat pengumuman hanya 4 hari yang lalu. Lembaga memutuskan labur 5 bilion Euro, dan saya kata di Kulim Hi Tech.



"Sebab (mereka mahu labur) kerajaan stabil. Dia bukan kata kerajaan Kedah, kerajaan Malaysia, PM Anwar dan dasar ekonomi Madani," katanya dalam ceramah di Pulau Pinang, malam tadi.



Dalam ceramah itu juga, PM mendedahkan perbincangannya bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan yang menyentuh pelaburan negara itu untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan drone Turkiye bagi rantau Asia dan akan menambah peluang pekerjaan di Malaysia.



"Presiden Turkiye, Tayyip Erdoğan telefon. Dia kata Anwar macam mana election, dia doa. Dia pun sokong kita. Bukan dia sokong itu lebai



"Dia mahu melabur. Sekarang drone Turkiye nombor satu. Dia kata, boleh kita buat kilang di sini, boleh kita eksport drone dari Malaysia ke pasaran Asia," katanya.



Begitu juga dengan syarikat Jepun, kata Anwar. Menurut beliau syarikat Jepun yang melabur di Malaysia telah menangguhkan keputusan untuk mengembangkan pelaburan sejak beberapa tahun lalu kerana ketidakstabilan politik.



Anwar berkata, beliau telah mengambil inisiatif bertemu dengan semua syarikat berkenaan dan hasilnya pelaburan Jepun akan meningkat dalam tahun tahun akan datang.



"Saya jumpa semua syarikat Jepun yang ada di sini, panggil dia bincang. Yang ada di sini dia tangguh (kembangkan pelaburan) sampai pilihanraya. Dia tangguh tengok ada kerajaan stabil atau tidak, tangguh sampai polisi ekonomi betul atau tidak. Sekarang dia setuju tambah RM28 bilion untuk semua syarikat.



"Untuk apa saya susah payah pujuk (Jepun), sebab anak kita mahu kerja. Anak kerja gaji lebih tinggi. Bukan 'hidup Melayu', 'hidup Melayu' Melayu tak ada kerja," katanya lagi.

 


No comments: