SELEPAS BUAT LAWATAN MENGEJUT KE KLIA, ANWAR JAMIN ISU MENTERI DAN IMIGRESEN AKAN DIBINCANG RABU INI

 

URUSAN dan pengoperasian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah terkawal, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan mengejut ke pintu masuk utama negara itu, hari ini.

Dalam tinjauan itu bagi melihat sendiri keadaan petugas JKDM dan JIM susulan satu insiden yang melibatkan orang kenamaan di KLIA baru-baru ini, Anwar berkata terdapat beberapa permasalahan di kedua-dua jabatan itu, yang akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan wajar.

“Ada beberapa kerosakan Kastam yang harus kita perbaiki. Umumnya majoriti pekerja dan petugas Imigresen berjalan dengan baik.

“Cuma ada beberapa masalah, kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan wajar,” katanya.

Tanpa diringi menteri Kabinet atau orang kenamaan, Anwar mengadakan lawatan mengejut kira-kira 30 minit di KLIA itu, sebelum menyertai upacara keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke tanah air, selepas menunaikan ibadah haji di Kompleks Bunga Raya, KLIA di Sepang.

Anwar berkata beliau akan meneliti langkah-langkah penambahbaikan yang telah diambil dan harus dilakukan.

“Setakat ini saya lihat memang Imigresen respons sangat baik dan positif. Yang kita harus kenal pasti ialah beberapa kelompok kecil yang masih tidak mampu bawa perubahan, termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan,” katanya.

Anwar berkata perbincangan awal berhubung JKDM dan JIM akan dilakukan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Sebuah portal berita pada 29 Jun lepas melaporkan mengenai kekecohan di KLIA melibatkan orang kenamaan, dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila orang kenamaan berkenaan dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan itu, tanpa memohon pas keselamatan.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu, merangkumi semua aspek berkaitan. – Bernama, 2 Julai, 2023.