Anwar Ibrahim berkata pegawai terbabit harus turun padang melihat masalah itu.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim
melahirkan rasa kecewa apabila lawatan mengejutnya ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam mendapati hanya satu daripada tujuh
mesin pengimbas kastam beroperasi.
Anwar berkata
perkara itu tidak seharusnya berlaku dan mendesak pegawai agensi terbabit turun
padang untuk melihat permasalahan di bawah.
“Kebetulan (saya) menteri kewangan, kastam
bawah tanggungjawab saya. Takkan nak tunggu menteri turun baru nak tahu rosak,”
katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri.
“Ini ada kelemahan
dari segi maklumat, kalau belanja sekitar beberapa juta kita boleh luluskan
segera dan saya percaya SPRM takkan siasat semata-mata luluskan segera kerana
keadaan mendesak.”
Semalam, Anwar
mengadakan lawatan mengejut di KLIA untuk meninjau operasi imigresen di pintu
masuk negara itu.
Lawatan itu
dipercayai susulan kekecohan di KLIA baru-baru ini membabitkan Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang mengakui individu ditularkan
bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.
Beliau mendakwa
wujudnya budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa
“kronik” di pintu masuk negara.