RASUAH SERIUS DI NEGARA KITA.

 







Veteran UMNO menyifatkan cerita rasuah melibatkan pegawai kerajaan dan orang politik bukan suatu yang mengejutkan.

Menurut setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, isu itu sudah lama berlaku walaupun ada tangkapan dibuat.

Namun, katanya, rasuah tetap berlaku malah bertambah serius.

“Sebab itu cerita pegawai Imigresen rasuah, ini bukan perkara baru. Ianya sudah lama, bukan rahsia lagi. Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat tapi rasuah terus berlaku.

“Cerita jutaan warga China masuk negara ini tapi tiada rekod keluar juga kita dengar. Cerita kad pengenalan baru dikeluarkan kepada warga China yang tidak pandai bercakap bahasa Malaysia pun kita telah dengar.

“Cerita kad pengenalan rakyat negara ini bertukar kepada orang lain pun kita dengar. Cerita jutaan pendatang asing yang memasuki negara ini juga kita dengar dan tahu.

“Apatah lagi, cerita pegawai rendah Imigresen memiliki beberapa kereta mewah juga kita baca dan tahu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, seorang menteri didakwa membuat kecoh di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kerana dikatakan hendak membebaskan seorang pelawat dari China yang ditahan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Tiong Kin Sing bagaimanapun tampil mengakui dirinya menteri yang terlibat dalam insiden berkaitan.

Namun menteri itu berkata, kehadirannya untuk menyelamatkan wanita itu yang telah mendedahkan rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang itu.

Dakwanya, layanan sedemikian terhadap pelancong yang tiba di Malaysia bukanlah kejadian yang pertama.

Menurut Mustapha, beliau telah menyuarakan isu itu lama dahulu ketika memegang jawatan Setiausaha Biro Hal Ehwal Antarabangsa Pemuda UMNO.

Jelas beliau, bukan sekali aduan dibuat sehingga Menteri Dalam Negeri dan kerajaan bertukar ganti pun rasuah terus berlaku.

“Jadinya salah siapa? Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menghapus dan membanteras rasuah hingga ke lubang cacing, maka saya amat menyokong.

“Rasuah di negara kita amat serius. Dulu kita selalu bercakap rasuah di negara jiran tapi sekarang kitalah hero rasuah. Malaysia memang boleh,” katanya dengan sindiran. – MalaysiaGazette