Kerajaan Perpaduan komited dalam mengurangkan jurang infrastruktur
perhubungan jalan luar bandar dan wilayah dalam usaha untuk menoktahkan
kemiskinan termasuk di negeri pembangkang.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, Nik
Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
(KKDW) telah meluluskan 42 projek di Kelantan di bawah Program Jalan dan
Jambatan Luar Bandar (JALB) termasuk projek menaiktaraf jambatan sempit.
Projek-projek tersebut akan dilaksanakan menerusi Rolling Plan
Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan melibatkan perbelanjaan
berjumlah RM1.44 bilion
"Bagi tahun pelaksanaan 2023, sejumlah RM122.95 juta
diperuntukkan untuk pelaksanaan projek seperti membina jalan dan jambatan dari
Kampung Joh ke Kampung Belimbing dan Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat serta
pembinaan jalan dari Kampung Joh ke Kampung Mata Ayer, Machang.
"Ketiga-tiga projek JALB ini akan melengkapkan satu jaringan
jalan alternatif luar bandar melibatkan jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan
Machang," jelasnya.
Perkembangan tersebut dikongsikan Nik Nazmi pada sidang akhbar
selepas melawat tapak projek pembinaan jalan Kampung Joh ke Kampung Belimbing,
Tanah Merah di Kampung Joh, di Machang pada Ahad.
Sementara itu Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam
Sekitar dan Perubahan Iklim memberitahu, bagi pembangunan di Jajahan Machang,
Kementerian Ekonomi telah meluluskan sebanyak 19 projek bagi pelaksanaan di
bawah RP3 RMK12 merangkumi peruntukan RM165.1 juta .
"Tekad dan komitmen kerajaan kepada rakyat dan negeri
Kelantan dizahirkan melalui pelbagai projek dan program yang sedang dalam
perancangan untuk dilaksanakan.
"Saya mengulangi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa cakna
dan tidak akan meminggirkan pembangunan di Kelantan," katanya dipetik.