ZAINUDDIN OMAR
Ahaks. Lain kali ostat kena pilihlah majlis yang boleh dihadiri.
Kan dah kena kritik.
Sat lagi ramai wadiun masuk kasi bekap. Ahaks.
****************
Berada dalam majlis pernikahan seorang artis dan mendapat reaksi
tidak menyenangkan, pendakwah bebas Wadi Annuar Ayub berkata dia meninggalkan
tempat itu tanpa menunggu jadual untuknya berakhir.
Terkait dengan kontroversi apabila menjadi sebahagian daripada
tetamu majlis perkahwinan pasangan pelakon Janna Nick dan Dini Schatzman di
Langkawi baru-baru ini, Wadi Annuar berkata dia hanya menyempurnakan tugasnya
sebagai pembaca doa.
Pada masa sama dia juga melunaskan kewajiban memenuhi jemputan
bagi meraikan pasangan terbabit - yang diadakan pada 19 Mei lalu - sebelum
beredar dari situ.
“Saya dijemput untuk menghadiri dan membaca doa, tapi sewaktu
saya sampai di situ, pengantin masih belum tiba.
"Saya pun belum tengok pengantin lelaki dan perempuan pada
hari itu kerana kami dibawa untuk duduk di satu tempat.
“Kemudian saya baca doa. Pada ketika itu pengantin masih belum
tiba. Namun, selepas beberapa minit, baru diumumkan ketibaan pengantin.
“Selepas melihat pengantin, saya beritahu PA (pembantu
peribadi): 'Kita kena balik sat gi, ustaz tak dapat nak teruskan majlis.'
"Saya ambil keputusan untuk tak makan, tak bergambar dan
tak bersama tentatif hingga akhir majlis,” katanya melalui siaran langsung di
media sosial hari ini.
Menurut Wadi Annuar dia meminta izin untuk beredar dari situ
selepas pasangan pengantin terbabit usai memberikan ucapan.
“Saya tak tahu apa akan berlaku, dan kami memang balik. Hal ini
boleh ditanyakan (untuk pengesahan) pada penganjur,” katanya.
Terdahulu, kehadiran personaliti itu dalam majlis resepsi
berkenaan mengundang polemik dalam kalangan pengguna alam maya serta tidak
kurang juga meraih perhatian segelintir agamawan yang lain.
Mereka malah berpendapat personaliti yang pernah terbabit dalam
kontroversi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis itu tidak patut
menghadiri majlis meraikan pengantin berkenaan.
Selain pengantin yang tidak menutup aurat, majlis tersebut juga
disifatkan meniru budaya Barat.
Kata Wadi Annuar pendekatan yang diambilnya adalah berpatutan
kerana ia tidak mendatangkan aib kepada penganjur majlis berkenaan, selain apa
yang disarankan Islam.
“Kita tak memalukan orang, tak menimbulkan persepsi negatif, tak
menjatuhkan tuduhan dan fitnah kepada orang.
"Hukum tetap hukum tapi pada masa sama kita tak mahu
mengeruhkan keadaan.
“Alhamdulillah situasi tenang, pengantin pun OK,” katanya.