Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius
laporan yang menyatakan bahawa hampir 30,000 pelajar tidak menduduki Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Presiden Parti KEADILAN itu berkata, isu tersebut sangat membimbangkan dan serius untuk pendidikan negara. Justeru Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah diarah untuk meneliti secara terperinci perkara itu bagi memastikan ia tidak berulang tahun-tahun akan datang.
"Perkara ini berlaku masa pasca Covid-19, politik tak tentu
arah dan tidak ada dasar jelas.
"Bagi saya 30,000 pelajar perkara yang serius. Nak kata mereka ‘hilang’, mereka tidak hilang cuma kalau tak buat apa-apa ia hilanglah. Tapi yang tak ambil SPM majoriti Melayu, menteri dulu buat apa?" soalnya.
Anwar sebelumnya berucap pada Program Cakna Madani bersama pelajar
tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak
(DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 14,858 atau 3.8 peratus
daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022
bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan
392,837 calon yang berdaftar.
Dipetik laporan Kosmo, Anwar turut menyelar Menteri Pendidikan ketika itu, Mohd. Radzi Md. Jidin yang jelasnya gagal memantau perkara tersebut.
"Hanya selepas Fadhlina jadi Menteri, perkara ini dibongkar.
Ini adalah masalah tetapi dalam kempen, dia (Radzi) tak sebut perkara
ini," katanya.