Semua pihak digesa berpolitik secara sihat dengan tidak menyerang
pihak lawan menggunakan sentimen agama.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin
Aman Razali berkata berkempen politik seharusnya berjalan secara harmoni
menerusi dakwah yang lunak dan berhemah bagi menampilkan kelebihan parti
masing-masing.
Justeru tegasnya, semua terma seperti musuh Allah, musuh
perjuangan agama dan melabelkan mereka seagama yang berbeza parti akan ke
neraka perlu dipadamkan dalam politik demokrasi.
"Saya mengalu-alukan tindakan segera pihak berkuasa dalam isu
seperti terma musuh Allah ini.
"Ini menjadi ingatan kepada para pemimpin agar lebih berhemah
ketika berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya menerusi
hantara di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Timbalan
Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli yang didakwa
mengeluarkan kenyataan berkaitan ‘Musuh ALLAH’ dalam program Himpunan Kedah
Berselawat baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum
ini berkata pihak berkuasa akan meneruskan siasatan terhadap Zainul Asri
berhubung kenyataan dibuatnya.
Polis jelasnya telah memanggil Zainul Asri bagi memberi
keterangan.
"Dalam pertemuan pertama dengan polis, beliau mengaku
melakukan kesilapan dan menyatakan terlalu teruja apabila melihat hadirin yang ramai,"
kata Saifuddin pada sidang media sebelum ini.