PPIM sambut baik langkah kerajaan tamatkan monopoli


 

Keputusan kerajaan menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan disambut baik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu bukan sahaja dijangka akan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai, malah akan membuka perkhidmatan kepada pihak lain yang berkelayakan yang akhirnya akan mewujudkan budaya persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.


"Isu yang timbul melibatkan perkhidmatan Puspakom sebenarnya sudah lama, aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.


"Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik," kata Nadzim dipetik.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bermula 1 Sept 2024, Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).



Langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.


Sementara itu, Nadzim turut menyatakan harapan agar langkah membuka perkhidmatan itu kepada syarikat lain turut disusuli dengan penubuhan satu badan pemantau.


Ia bagi mengawal selia perkhidmatan selain menangani aduan membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat yang bakal dilantik kelak.


"Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

 


No comments: