KEPIMPINAN BARU UMNO DAN AGENDA MEMBEBASKAN NAJIB

 

Selepas berakhirnya pemilihan UMNO baru-baru ini, di sebalik kedudukan Zahid Hamidi dilihat semakin kukuh, hakikat lain yang tidak dapat disembunyikan ialah sejumlah besar pemenang ahli MT adalah merupakan orang-orang Najib Razak.

Dengan keadaan itu, yang paling awal merumuskan pengaruh Najib atau Bossku masih kuat dalam UMNO ialah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ.

Kata beliau, pengaruh Najib dilihat masih menguasai dan bakal menentukan hala tuju masa depan parti itu.

“Kita telah mendengar dan membaca banyak analisis di media bahawa Zahid Hamidi kini menguasai UMNO.

“Ya, kami bersetuju, nampaknya dia mengawal parti.

“Tetapi jika kita lihat lebih mendalam, Zahid Hamidi kuat tetapi ahli MT terdiri daripada penyokong tegar Bossku,” kata beliau lagi.

Antara orang Najib yang menang sebagai Ahli MT ialah bekas Setiausaha Agung UMNO dan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan; Pengerusi Felcra, Ahmad Jazlan Yaakub; bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Johan Aziz; Speaker Johor, Dr. Puad Zarkashi; Speaker Pahang, Sharkar Shamsuddin; Lokman Noor Adam dan bekas Ketua Penerangan UMNO merangkap bekas Pegawai Khas Najib sendiri, Isham Jalil.

Kemudian daripada itu, meneliti ahli MT yang dilantik oleh Zahid Hamidi pula, beberapa daripadanya adalah juga dikenali sebagai orang kuat Najib.

Antaranya ialah Fatmi Che Salleh dan Shafei Abdullah di mana kedua-duanya adalah bekas Setiausaha Politik Najib sebelum ini.

Mengambil kira Zahid Hamidi sendiri adalah orang kuat Najib dan karier politiknya sendiri bermula sebagai Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri itu yang kini dipenjarakan, mahu tidak mahu haruslah diakui bahawa kuku anak Tun Razak itu masih kukuh mencengkam UMNO.

Dalam erti kata lain, sementara Najib berada di balik tirai besi penjara Kajang, pengaruh beliau tetap menjalar menguasai UMNO yang merupakan komponen penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim ketika ini.

Oleh sebab Najib kini dipenjarakan dan sedang berjuang untuk pembebasannya – paling awal melalui semakan kehakiman kes SRC International yang keputusannya adalah pada 31 Mac ini – apakah pengaruh beliau yang tetap kukuh dalam UMNO itu bakal memberi sebarang kesan?

Tidak mungkinkah dalam hari-hari terakhir sebelum keputusan pada 31 Mac ini, akan tampil suara yang lebih nyaring daripada dalam MT UMNO sendiri menuntut keadilan diberikan kepada Najib, walhal sebelum ini hanya Dr. Puad dan Lokman berdua saja yang sering bersuara demikian?

Jika semakan kehakiman nanti gagal, bolehkah mereka menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka?

Juga, jika semakan kehakiman itu gagal, apakah jaminannya bahawa UMNO yang dikuasai orang-orang Najib ketika ini tidak memberi tekanan kepada kerajaan dan Anwar untuk kaedah lain bagi pembebasan beliau?

Sejauh mana dan berapa lama Anwar dalam hal ini mampu bertahan demi mengekalkan kerajaan agar tidak digoncang? – ShahbudinHusin 25/03/2023.



No comments: