ALASAN ANWAR GAGAL MENGADAP RAJA ARAB TAK MEYAKINKAN, PMO ATAU WISMA PUTRA PERLU TAMPIL JAWAPAN JUJUR

 

Meskipun Anwar Ibrahim menjelaskan ketiadaan pertemuan antara beliau dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau dengan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman dalam lawatannya ke Arab Saudi yang berakhir semalam adalah disebabkan pimpinan kerajaan negara itu menukar jadual mereka menjelang Ramadan, hujah itu sebenarnya langsung tidak meyakinkan.

Ia sekadar jawapan untuk menyedapkan keadaan, malah sangat kabur.

Ini kerana lawatan tersebut diuruskan oleh kerajaan melalui Wisma Putra, melibatkan hubungan dua hala antara kerajaan dengan kerajaan serta membabitkan ketua kerajaan masing-masing.

Ia bukan seperti pertemuan antara dua kawan untuk sembang-sembang yang boleh ditunda sesuka hati ke tarikh lain kerana ada hal mendesak lain yang difikirkan lebih mustahak untuk didahulukan.

Melainkan ada kemangkatan keluarga atau berlaku sesuatu tragedi dalam negeri, berlaku pembatalan boleh saja mudah difahami.

Tetapi, apa dia menukar jadual menjelang Ramadan itu?

Lebih-lebih lagi sebagai Raja Arab Saudi dan penjaga dua kota suci umat Islam di mana kehidupan baginda penuh dengan disiplin yang tinggi, agak sukar untuk mempercayai jadual tiba-tiba boleh diubah di saat akhir dan diminta memanjangkan lagi tempoh lawatan.

Sudah tentu, jika ada perubahan jadual, pemberitahuan akan dimaklumkan lebih awal sebelum Anwar dan rombongannya berlepas dan jika pun Raja Salman tidak dapat menghadiri pertemuan atas sebab yang benar-benar mustahak, sudah pasti ia digantikan dengan Putera Mahkota atau pimpinan kanan kerajaan yang lain.

Malangnya, semua itu tidak berlaku, walhal dalam kenyataan media pada 22 Mac lalu, Wisma Putra dengan jelas menyatakan, lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah atas undangan Mohammed bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi.

Dalam kenyataan media yang sama juga disebutkan bahawa Anwar turut dijadual mengadap Raja Salman dan Mohammed bin Salman dalam lawatan tersebut.

Apa yang berlaku nampaknya, selain Putera Mahkota yang dikatakan menghantar undangan tidak kelihatan, bahkan majlis mengadap Raja Salman juga tidak menjadi kenyataan.

Apa sudah jadi sebenarnya?

Yang pasti, ini bukan kejadian biasa-biasa dalam norma hubungan diplomatik antarabangsa yang melibatkan dua negara.

Untuk itu, wajar saja jika timbul tanda soal yang besar di kalangan rakyat dalam hal ini.

Sekaligus, hujah Anwar bahawa ketiadaan pertemuan itu kerana perubahan jadual di saat akhir menjelang Ramadan amat sukar untuk diterima serta tidak meyakinkan sama sekali.

Pokoknya, urusan diplomatik antara negara dan melibatkan ketua kerajaan ada prosesnya serta tidak boleh dibatalkan secara mengejut begitu saja.

Dalam sidang akhbar di akhir lawatannya, Anwar berkata, kerajaan Arab Saudi telah memohon supaya beliau memanjangkan tempoh kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk membolehkan pertemuan itu diadakan.

Menurut Perdana Menteri, beliau menyambut baik permintaan itu tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhinya disebabkan perlu pulang seperti dijadualkan bagi memenuhi jadual berbuka puasa dengan Yang Dipertuan Agong pada 25 Mac dan seterusnya melawat Kemboja selepas itu.

Sebab itu, dalam hal ini adalah penting untuk Pejabat Perdana Menteri atau PMO dan Wisma Putra agar tampil dengan penjelasan yang jujur berkaitan perkara itu.

Ia perlu diperjelaskan supaya rakyat tahu hakikat yang sebenarnya dan agar pihak pembangkang tidak terus memainkannya sebagai isu untuk memperlihatkan Anwar seolah-olah telah diperlekehkan.

Harus diingat, selain tiada pertemuan dengan Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi, lawatan Anwar ke Arab Saudi itu juga diriuhkan dengan ketibaannya yang hanya disambut Gabenor Jeddah serta tidak dibawa memasuki Kaabah.

Menjadi kelaziman bagi Arab Saudi, sebagai tanda penghormatan, mereka lazimnya memberi peluang kepada pemimpin negara Islam yang melawat negara itu bagi menunaikan umrah untuk dibawa masuk ke dalam Kaabah.

Tun Mahathir Mohamad, Najib Razak dan Mahiaddin Md Yasin adalah antara Perdana Menteri sebelum ini yang pernah diberi peluang masuk ke dalam Kaabah oleh kerajaan Arab Saudi.

Walaupun bukan kewajipan untuk seseorang Perdana Menteri memasuki Kaabah dan ia juga bukan rukun dalam ibadah umrah, tetapi jika pemimpin lain diberi peluang dan Perdana Menteri semasa ternampak keciciran, disertai tidak dapat bertemu Raja Salman atau Putera Mahkotanya dalam lawatan ke Arab Saudi, seolah-olah semacam ada sesuatu yang tidak kena.

Kalau mahu dikatakan ia disebabkan Arab Saudi tersinggung dengan penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman atau KSCIP yang dilakukan ketika era pentadbiran Tun Mahathir dahulu, kenapa pula ketika Mahiaddin melawat Arab Saudi pada 2021 sebelum ini, beliau dapat bertemu Raja Salman, dapat memasuki Kaabah dan ketibaannya disambut oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman?

Sepatutnya, kalau ada rasa tersinggung di hati Arab Saudi terhadap Malaysia, Mahiaddin yang lebih dulu tidak diberi penghormatan, bukannya Anwar?

Tetapi, kenapa Anwar? ShahbudinHusin 26/03/2023.