SELAIN PILIHAN PALING STABIL, PH MALAH HARUS DIBERI MAJORITI LEBIH KUKUH



 Walaupun PN dan BN saling bermusuhan dalam menghadapi PRU15 ini, hakikatnya mereka adalah bersama dalam kerajaan.

Ketika Mahiaddin Md Yasin daripada PN menjadi Perdana Menteri, BN memberi sokongan kepada kerajaan pimpinannya.

Kemudian, apabila Ismail Sabri Yaakob daripada BN menjadi Perdana Menteri sehinggalah sekarang, PN juga menyokong kerajaannya.

Hakikatnya, mereka adalah bersama tapi bergaduh dan mereka bergaduh tapi bersama.

Untuk itu, dalam PRU15 ini haruskah BN dan PN diberi undi lagi?

Secara logiknya, memberi undi kepada BN atau PN hanya mengulangi pengalaman ditadbir oleh kerajaan PN dan BN selama 31 bulan sebelum ini yang penuh ketidakstabilan, ketidaktentuan dan ketidakmakmuran.

Jika salah satu antara BN dan PN tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, kebarangkalian mereka bersama lagi untuk membentul kerajaan campuran juga adalah tinggi.

Maknanya selepas PRU15 nanti, kerajaan yang wujud tiada beza dengan kerajaan yang ada sekarang iaitu cantuman BN dan PN.

Menteri-menteri yang ada sekarang akan terus jadi menteri lagi.

Hadi Awang akan kekal jadi duta makan gaji buta, malah jika PN lebih banyak kerusi daripada BN, Mahiaddin tentunya akan jadi Perdana Menteri sekali lagi.

Sanggupkah kita dikenakan darurat, PKP tanpa henti-henti dan asyik-asyik Mahiaddin muncul dengan perutusan khas di TV saja?

Lebih buruk lagi jika BN mendapat lebih banyak kerusi daripada PN, walaupun Ismail Sabri telah ditetapkan sebagai posteri boy dan calon Perdana Menteri, tidak mustahil ketika itu Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN pula yang mahukan jawatan Perdana Menteri itu.

Elok-elok kita dapat Perdana Menteri yang sibuk rasmi program itu program ini, tapi nanti Perdana Menteri saban hari keluar TV kerana hadir perbicaraan di mahkamah belaka.

Aduhhh…sanggupkah kita?

Kalau Ismail Sabri kekal juga sebagai Perdana Menteri, barisan kabinet pasti akan ditentukan oleh Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN dan ini tidak menjanjikan kestabilan.

Mahu tidak mahu, hanya PH sebagai pilihan yang stabil.

Di samping kedudukan PH ketika ini sedang mendahului di depan berbanding BN dan PN, memberi kemenangan kepada gabungan itu dengan jumlah kerusi kemenangan yang lebih stabil adalah dikira amat mustahak sekali.

Ini kerana, dengan jumlah kerusi yang stabil itu, ia dengan sendirinya dapat menjanjikan kestabilan dan kemakmuran yang sebenar kepada rakyat dan negara.

Kalau ada yang mempertikaikan sejarah 22 bulan PH jadi kerajaan, kita juga jangan lupa sejarah lebih buruk PN dan BN jadi kerajaan selama 31 bulan selepas kejatuhan PH itu.

Apakah kerajaan PN dan BN tidak lebih buruk berbanding PH?

Dan jangan kita lupa, kerajaan PH selama 22 bulan itu, di sebalik dijaja dengan pelbagai imej buruk, ia adalah pimpinan Tun Mahathir Mohamad yang dalam hatinya penuh dengki dan khianat kepada Anwar dan juga PH.

Sebab itulah banyak caca marba dan ketidaktentuan, malah ia sebenarnya memang disengajakan.

Dan sekarang Tun Mahathir yang bertoksid itu sudah tiada lagi dalam PH.

Kalau sejak awal Anwar mengetuai kerajaan PH, bukan saja ketidaktentuan tidak berlaku, malah tempoh 22 bulan juga mungkin tidak wujud sama sekali.

PH yang sekarang diketuai Anwar sedang berada di hadapan dan inilah satu-satunya pilihan paling munasabah bagi rakyat pada pengundian 19 November nanti jika rakyat inginkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan mampu menjanjikan masa depan yang lebih baik. – ShahbudinHusin 10/11/2022.


No comments: