Perak jadi medan tempur bagi ‘bakal PM’

 

Perak jadi medan tempur bagi ‘bakal PM’

Calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH), berpindah dari kerusi selamat di Port Dickson untuk bertanding di Tambun.

TAMBUN: Negeri utara Semenanjung, Perak, menjadi medan tempur utama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Nov, memandangkan terdapat jumlah besar kerusi Parlimen, selain pilihan raya kebangsaan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung serentak.

Namun, lebih penting, negeri berkenaan menjadi pertembungan “dua bakal” perdana menteri yang bertanding di negeri itu, pada pilihan raya umum kali ini.

“Perak mencuri tumpuan susulan kehadiran Anwar bertanding di sana dan beliau merupakan ‘poster boy’ (Pakatan Harapan) untuk diangkat sebagai perdana menteri seterusnya,” seorang pemimpin Umno memberitahu Nikkei Asia, merujuk kepada Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi PH.

Anwar selaku calon perdana menteri gabungan itu, berpindah daripada kerusi selamat di Port Dickson, bandar berpantai di selatan ibu negara Kuala Lumpur.

Beliau berdepan saingan empat penjuru di Tambun, bersaing dengan calon Umno Aminuddin Hanafiah, bekas penyandang, Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang, sebuah parti politik diasaskan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi “bintang” di Perak selain Anwar, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno menerajui kepimpinan utama Barisan Nasional. Beliau diramal mampu mempertahankan kerusinya di Bagan Datuk.

Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi. Sebagai tambahan, kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang bertanding untuk menguasai DUN Perak kerana pilihan raya negeri juga dilangsung serentak, pada 19 Nov.

“Bagi pandangan saya, Anwar mempunyai kelebihan kerana menjadi calon berprofil tinggi,” kata pemimpin tinggi Umno itu.

Bagaimanapun, Nazri Aziz, yang menjadi Ahli Parlimen enam penggal di negeri itu, berkata tidak mudah bagi Anwar kerana pengundi Tambun “agak kecewa” dengan PH. Namun, beliau mengakui pemimpin pembangkang berkenaan “mempunyai peluang”, sambil meramal peluang menang 50-50.

Tambun, dikelilingi bukit batu kapur mengasyikkan dan dusun limau bali, juga terkenal taman tema ‘Lost World of Tambun’, mempunyai komposisi pengundi 67% pemilih Melayu, 20% Cina dan 11% India, dengan beberapa lagi komuniti lain yang seimbang.

Timbalan Pengarah Urusan BowerGroupAsia Asrul Hadi Abdullah Sani, berkata ada “kemungkinan besar Anwar menang di kerusi Tambun, terutama undi Melayu dijangka berpecah” antara Umno, PKR dan Perikatan Nasional, gabungan diterajui bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Anwar merupakan nama besar yang dikenali dalam kalangan pengundi biasa.

“Anwar Ibrahim terkenal di sini, ramai orang mengenalinya. Beliau seorang daripada calon perdana menteri,” kata penduduk Tambun berusia 22 tahun, Ariena.

Merujuk kepada Faizal yang lebih dikenali sebagai ‘Peja’, beliau menambah, “Saya fikir saingan di sini 50-50 antara Anwar dan Peja.”

Seorang lagi penduduk, Masitah, 28, berkata: “Satu-satunya nama yang saya kenal adalah Anwar Ibrahim. Saya tidak kenal yang lain.” Dia yang bekerja di restoran milik ibunya juga menyatakan tidak berminat dengan politik, namun bapa saudaranya “memberitahunya” untuk mengundi.

Ditanya mengenai parti diwakili Anwar, dia berkata, tidak mengetahuinya. “Saya belum buat keputusan untuk undi siapa. Saya perlu ‘Google’ untuk mencari lebih maklumat berhubung calon dan parti diwakili.”

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar, meramal laluan berliku akan dilalui Anwar di kerusi Parlimen ditandinginya.

“Anwar berharap peningkatan pengundi muda baharu akan memberi kelebihan kepadanya,” kata Hisomuddin. “Untuk menang, saya rasa, ia bukan mudah untuk Anwar. Ini kerana Tambun merupakan kawasan perkampungan Melayu terbesar di Malaysia…yang mana pada masa lalu menjadi ‘deposit tetap’ (bagi Umno-BN).”

Seorang lagi calon berpotensi menjadi perdana menteri dari negeri itu, Zahid dari Umno, berada pada posisi janggal. Parti pemerintah secara rasminya menyatakan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, sebagai calon perdana menterinya, namun sumber dalaman parti mengakui Zahid “mempunyai cita-cita menjadi perdana menteri.”

“Lebih penting, beliau mahu terus kekal sebagai presiden parti. (Tetapi) Umno sangat mementing hierarki. Sekiranya, presiden parti mahu menjadi perdana menteri, siapa yang berani berkata tidak?” kata Asrul dari BowerGroupAsia.

“Zahid mempunyai jentera akar umbi kuat di Bagan Datuk, dan beliau tidak sepatutnya diketepikan walaupun berdepan kes (mahkamah) yang sedang berjalan,” katanya.

Pada September, Zahid dibebaskan dari 40 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa oleh Mahkamah Tinggi, namun masih berdepan dengan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan badan amal. Beliau menafikan sebarang kesalahan.

James Chin, profesor dari kajian Asia University of Tasmania, juga berpandangan Zahid masih berharap memegang jawatan tertinggi kerajaan.

“Sudah tentu beliau mahu menjadi perdana menteri…bagaimanapun sesiapa sahaja yang menjadi perdana menteri bergantung penuh kepada keputusan (pilihan raya),” katanya.

“(Sekiranya Zahid menunjangi BN) tidak memerlukan sesiapa dan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, mungkin (kena menang) 125 kerusi atau lebih, jadi jawapannya adalah ya, beliau boleh menjadi perdana menteri…lebih-lebih lagi beliau sudah menggugurkan ramai ‘hulubalang’ (Umno) yang menentangnya.”


No comments: