Kata Ismail poster boy, mana posternya?
Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bermula Umno mengumumkan bahawa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah poster boy BN.
Namun menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, sehingga hari ini masuk 2 hari berkempen belum kelihatan poster Ismail Sabri digantung sama ada di bilik gerakan atau di tepi jalan oleh BN.
“PM Peralihan Datuk Seri Ismail Sabri didapati hilang dari radar rakyat selama seminggu. Kenyataan pertama selepas pengesanan beliau adalah menegaskan beliau masih merupakan calon PM kepada Umno BN.
“Memang lucu apabila kenyataan ini dikeluarkan daripada mulut calon itu sendiri, dan bukan daripada kenyataan rasmi Umno BN.
“Ya, Ismail pernah diangkat sebagai “Poster Boy” sebelum parlimen dibubarkan. Namun sehingga hari ini, tidak nampak gambar beliau muncul dalam poster, billboard, ataupun banner di bilik gerakan.
“Pembisuan Umno BN ini mungkinkah ada tanda-tanda yang tersirat,” katanya.
Menurut calon Pakatan Harapan parlimen Petaling Jaya itu lagi, sebelum ini hampir kesemua menteri Umno dalam kabinet Ismail telah dimatikan jalan mereka untuk bertanding oleh Presiden Umno.
Apakah dengan tidak munculnya Ismail sebagai poster boy sebagaimana dijanjikan, maka laluannya untuk meneruskan karier sebagai PM sekiranya BN menang akan terhenti?
“Sebenarnya saya kurang berminat dengan percaturan politik dalaman Umno. Tetapi apabila PH menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PN mencalonkan Tan Sri Muhyiddin, dan Umno BN pula diam saja, bagaimana mereka boleh memainkan kad kestabilan yang sebelum ini dibangga-banggakan?
“Saya mencabar BN mengeluarkan kenyataan rasmi siapa yang akan diangkat sebagai calon PM dan jangan ada pihak yang menyorok di belakang untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Selain itu, Chean Chung juga mengulangi seruan agar calon calon PM bagi ketiga tiga gabungan berdebat sepentas untuk rakyat menilai gabungan mana yang paling layak memerintah.
“KEADILAN bersedia mengaturkan pentas debat bagi ketiga-tiga calon PM supaya rakyat boleh menilai pimpinan dan gabungan mana yang terbaik untuk mereka,” katanya lagi.