Saya janji tidak khianat rakyat sebagaimana Ahli Parlimen sebelum ini - Amirudin




Pengundi di parlimen Gombak dipastikan akan mendapat Ahli Parlimen sepenggal bersama Pakatan Harapan kali ini sekiranya memilih Datuk Seri Amirudin Shari pada 19 November nanti.


Calon Ahli Parlimen Gombak itu berjanji tidak akan khianat kepada pengundi sebagaimana dilakukan Azmin Ali dua tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.


"Malangnya orang yang kita beri kepercayaan itu tidak ingat pengorbanan saudara saudari 4 tahun lepas berhujan seperti ini


"InshaAlah calon PH ini tak lupa dengan pengorbanan saudara saudara. Saya beri jaminan dengan segala upaya dan keazaman yang ada, saya berjanji tidak akan khianat rakyat sebagaimana Ahli Parlimen yang kita lantik sebelum ini


"Sebab PH ingin pulihkan negara dan kita mahu negara maju ke depan," katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Gombak, malam tadi.


Selain itu, Amirudin juga membariskan beberapa perkara yang akan segera dilakukannya di Gombak andainya terpilih sebagai Ahli Parlimen, antaranya menyelesaikan isu setinggan di tanah rizab.


Katanya, beliau baharu sahaja menyelesaikan isu pemilikan tanah yang tergantung sejak berpuluh tahun lalu di Hulu Selangor yang tidak diusahakan oleh MB sebelum ini termasuk dari BN.


"Sebab itu bila saya lihat di Gombak ramai rakyat duduk di kawasan rizab. Tadi dalam mesyuarat saya segera arah Pegawai Daerah Gombak untuk kenal pasti tanah (tapak perumahan). Dah puluhan tahun merdeka rakyat hidup di rizab tak ada hak milik tanah.


"Ini cara PH nak jaga rakyat Melayu, bukan mainkan sentimen perkauman.


"Kita jaga dengan naikkan ekonomi mereka, isu tanah dan harta mereka. Di Selangor sejak 2008 sampai sekarang kita telah selesaikan 80,000 hak milik lot tanah," katanya.


Mengenai mutu pendidikan pula, ADUN Sungai Tua itu membariskan beberapa skim tuisyen yang diwujudkan oleh kerajaan Selangor kepada pelajar B40, sama ada sewaktu normal atau ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu


"Sebab itu saya nak minta izin orang di Gombak ini, sudah 3 penggal saya di DUN Sungai Tua membantu orang Sungai Tua, sudah sampai masanya saya pergi ke parlimen. Angkat isu pendidikan anak anak kita, supaya anak kita dapat pendidikan lebih baik


"Kalau tuan bagi sokongan, kita menang majoriti mudah di Persekutuan, bentuk kerajaan, kita pulihkan pendidikan untuk anak anak kita," katanya.


Naib Presiden KEADILAN itu juga teruja dengan kehadiran anak muda yang ramai pada malam tadi yang beliau sifatkan sebagai anak muda bermaruah.


"Anak muda bukan dapat RM100 upah datang ceramah. Kita nak pekerjaan.


"2 - 3 tahun ini Selangor buat Jom Kerja dan tawar 50,000 peluang pekerjaan. Agak menggelihati ada negeri di Pantai Timur (Terengganu) kata kita dah capai kita punya manifesto bagi peluang anak anak bekerja. Peluang kerja itu di negeri Selangor," katanya lagi.