Jika undi BN-PN dapat PM Zahid Hamidi
Pengundi yang akan membuang undi pada 19 November ini diingatkan agar tidak sekali kali termakan isu perkauman juga keagamaan sempit dan memilih BN atau PN.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, kesilapan di peti undi sehari daripada sekarang hanya akan menyebabkan rakyat menderita mengulangi pentadbiran huru hara BN – PN sekali lagi sebagaimana tempoh 2020 – 2022.
“Hari ini dalam pilihan raya kita perlu ingatkan ada beberapa calon PM. BN dia keliru, dia cakap calon PM Ismail Sabri. PN cakap Muhyiddin Yassin. Tetapi saudara kena ingat kalau orang di sini pilih Umno atau BN atau pilih PN dia akan dapat Zahid Hamidi (Presiden Umno sebagai PM).
“Zahid nak jadi PM adakah dia nak tolong rakyat? Dia cakap secara terbuka kita kena menang besar supaya bukan sahaja aku tetapi engkau Tok Mat, VK, Wee Ka Siong tak masuk mahkamah dan penjara. Itu sahaja dia fikir. Tak fikir soal rakyat, anak muda susah nak dapat kerja, susah dapat gaji bermaruah, hutang PTPTN tinggi. Dia tak fikir benda itu,” katanya dalam ceramah Grand Finale Jelajah Harapan di Gombak malam tadi.
Selain itu, Nik Nazmi juga mengingatkan pengundi di parlimen berkenaan agar cerdik dan menghumban pengkhianat mandat rakyat ke dalam tong sampah sejarah dengan tidak lagi memberi sokongan kepada penyandang parlimen berkenaan, Azmin Ali.
Katanya, Azmin tidak mementingkan pengundinya dan hanya mengutamakan jawatan beliau dalam karier politiknya.
“Pilihan raya kali ini peluang kita membetulkan apa yang berlaku pada Langkah Sheraton
“2018 rakyat cukup semangat. Rakyat di luar negara balik mengundi. Tetapi kerana kelakuan Azmin dan kuncunya maka kerajaan yang dipilih rakyat hancur.
“Sebab Azmin nak jadi PM. Tak sabar. Dia nak dapat jawatan besar. Saya masih ingat malam kita menang 2018, Azmin punya takut kita letak dia di kementerian Persekutuan yang junior. Dia lobi Tun Mahathir, Mat Sabu, Lim Guan Eng supaya sokong dia jadi MB selangor (semula).
“Saya ingat abang Mat tanya, Kak Wan dah sokong belum (untuk jadi MB)? Dia dapat jadi MB Selangor. Kemudian dia dapat jadi Menteri Ekonomi dia tinggalkan (jawatan MB) dia jadi Menteri Ekonomi.
“Jadi segala galanya pada dia soal jawatan. Apa yang rakyat dapat? Tak dapat apa apa,” katanya