G70 profesor Melayu sokong Anwar PM 10
G70 Profesor Melayu, sebuah ikatan sukarela 70 orang profesor menyokong penuh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke 10 Malaysia.
Dalam sidang media G70 semalam, para profesor Melayu berpendapat hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai keupayaan, kewibawaan dan integriti untuk memulihkan negara yang sedang terumbang ambing dari segi ekonomi, sosial dan perpaduan kepada kondisi yang lebih baik.
Menurut Deklarasi dan Seruan G70 Profesor Melayu yang dibacakan oleh profesor kejuteraan kimia dan pejuang bahasa, Prof Ir Wan Ramli Wan Daud, G70 menyeru agar pengundi di Malaysia menimbangkan faktor faktor pembangunan mapan dan kemajmukkan masyarakat sebagai asas untuk memilih parti politik yang layak diberi peluang memerintah negara pada 19 November ini.
“Rakyat Malaysia mesti menggunakan hak dan tangguangwajab pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 akan datang dengan mengundi pakatan politik yang mendukung perpaduan nasional dan keadilan masyarakat serta mengundi calon calon memiliki prinsip integriti, amanah serta bebas rasuah
“Rakyat mesti memilih calon calon dari pakatan politik yang memiliki iltizam yang membina kerajaan berteraskan prinsip tatakelola yang baik serta bertekad memerangai sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa
“Rakyat diseru mendukung calon calon dari pakatan politik yang bertekad mengembalikan maruah negara, membina semula keyakinan pelabur, mengukuhkan kedudukan matawang, membaik pulih ekonomi dan membina semula penghormatan dunia terhadap negara,” katanya ketika membacakan dekralasi tersebut.
Pengundi Malaysia, kata Ir Wan Ramli diseru agar tidak melakukan kesilapan dengan melantik wakil rakyat atau pemimpin yang menggunakan perkauman atau keagamaan sempit sebagai modal politik yang dikhuatiri akan merosakkan keseimbangan hubungan antara kaum di negara ini.
“Rakyat diseru menolak calon dari pakatan politik yang telah mengkhiananti amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan kepentingan diri dan kumpulan
“Rakyat juga perlu menolak calon menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum yang melaga lagakan rakyat berbilang kaum,” katanya.
Oleh kerana PRU 15 lebih kepada memilih Perdana Menteri daripada 3 calon utama dari PH, BN dan PN maka setelah segala faktor diteliti, kata Ir Wan Ramli, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai insan yang paling layak diangkat sebagai ketua kerajaan oleh rakyat pada pilihan raya kali ini.
“Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap calon PM kami berpendirian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu satunya tokoh dengan kewibawaan, pengalaman dan integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan serta memulihkan reputasi negara di mata dunia.
“Bersama pasukannya dalam PH, dalam PRU 15, merupakan pilihan terbaik membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi dan kesejahteraan rakyat di masa hadapan, serta menjamin kepentingan agama Islam serta Melayu,” katanya lagi.