PRU15: PH di Hadapan, BN & PN Bertarung di Kerusi Melayu, Blok Borneo Penentu-ILHAM CENTRE

 

POLA SOKONGAN PENGUNDI DAN PREDIKSI PILIHAN RAYA UMUM KE-15

———

PENDAHULUAN

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam keadaan ketika mana negara baru sahaja enam (6) bulan keluar daripada fasa pandemik Covid-19 dan dengan krisis kenaikan harga minyak, harga barang serta peningkatan kos sara hidup begitu dirasai oleh rakyat terbanyak.

Walaupun Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob berusaha keras untuk menangani segala krisis yang terjadi, tekanan domestik khususnya dalaman parti beliau UMNO telah menatijahkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Memasuki ‘mood’ pilihan raya pada waktu ini, emosi dan sentimen rakyat terbelah dan terpisah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara berdepan dengan hujan lebat berterusan dan bencana banjir besar akibat pertukaran monsun. Walaupun pada peringkat awalnya mendapat bangkangan daripada banyak pihak namun Parlimen terpaksa dibubarkan juga demi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih kepimpinan baru untuk tempoh lima tahun ke depan.

Pilihan raya umum kali ini disifatkan agak suram, tidak semeriah pilihan raya sebelum ini. Tidak dilatari dengan isu-isu panas melainkan rakyat secara paksa rela menyertai proses ini kerana Parlimen telah dibubarkan.

BARISAN NASIONAL (BN), PAKATAN HARAPAN (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN) DAN GABUNGAN TANAH AIR (GTA)

Sejak awal, BN dijangkakan berdepan PRU kali ini dengan keadaan bersedia. Selepas menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, BN berterusan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen atas pertimbangan kelebihan berpihak kepada mereka.

Segalanya berubah selepas calon diumumkan. BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan membubarkan Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya ketika parti-parti saingan dilihat tidak bersedia dan terpecah.

Disepanjang tempoh berkempen, BN tidak memperlihatkan kesepakatan dan konsolidasi elit yang penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk persepsi  meyakinkan kepada pengundi. Beberapa perkara menjejaskan hal tersebut.

Pertama, penguguran nama-nama besar dan ‘incumbent’ yang tidak dicalonkan semula. Ini bertambah parah apabila ada kalangan mereka bertanding menggunakan tiket parti lawan (Arau dan Maran) atau sebagai calon Bebas (Padang Besar). Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN turut mengundang pertanyaan.

Strategi mengemukakan 80 peratus muka baharu juga ‘backfired’ buat UMNO. Dengan andaian bahawa strategi serupa ketika PRN Melaka dan Johor serta keputusan Presiden akan disepakati oleh calon-calon yang diberi watikah telah membawa tindak balas di luar jangkaan parti terutamanya dalam kalangan yang sudah berkerja lama di akar umbi dan bahagian untuk memposisikan mereka sebagai calon WALI, namun tidak terpilih.

Masalah ‘housekeeping’ parti yang berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih menjadikan UMNO berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang mereka sendiri tentukan. Tindakan beberapa pimpinan UMNO yang menyerang Zahid Hamidi menggambarkan bagaimana situasi dalaman UMNO yang terpecah serta hilang arah sepanjang tempoh berkempen.

Kenyataan terbuka Presiden UMNO bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menentukan siapa Perdana Menteri selepas PRU-15 menguatkan spekulasi bahawa Ismail Sabri Yaakob bukanlah PM seperti yang dicadangkan – sekaligus menjejaskan potensi menarik undi atas pagar dan pengundi baharu terhadap BN.

Faktor ketiadaan Najib Razak sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU-15. Ini sekaligus meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah.

Namun begitu, kelebihan jentera akar umbi dan sokongan kuat orang Melayu kepada UMNO masih memberikan kelebihan yang signifikan kepada kekuatan UMNO untuk menyumbang kerusi di kawasan majoriti Melayu buat BN.

PH pula masih bergerak secara “in-silo”. Sejak kemenangan pada PRU14 sehingga berdepan dengan banyak siri PRK dan PRN sebelum ini masalah jentera ini masih gagal dibentuk secara kolektif. Namun begitu, kembalinya Rafizi Ramli ke dalam PH bak tonik memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan umum.

Strategi PH masih bergerak dengan tiga jentera parti utama yang berbeza dan terpisah. Sungguhpun begitu, ianya memberikan kelebihan kerana pengundi dapat membuat perbandingan dan perbezaan berbanding parti saingan yang sukar dibezakan antara calon PAS dan Bersatu dalam PN.

Anwar Ibrahim sebagai calon PM menjadi ‘selling point’ terbesar PH. Anwar antara ‘poster boy’ calon Perdana Menteri yang dilihat menyakinkan berbanding calon gabungan parti lain. Pertama beliau masih belum pernah menjadi PM. Kedua pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global.

Sentimen pengundi bandar terutamanya kelompok bukan Melayu masih kekal bersama PH. Kelompok ini sukar untuk mengubah pola sokongan mereka kepada parti lain kerana pilihan yang sangat sempit. Manakala pengundi luar bandar kelompok Melayu masih terpecah dan sukar diperoleh oleh PH terutamanya dengan PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN.

PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi BN-PH. Ia dibantu dengan kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka dengan diperkukuhkan dokongan jentera PAS yang tersusun dan kompak.

GTA jelas gagal untuk memberikan saingan kepada pakatan lain dan hanya berlegar di tiga kawasan; Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen. Kebergantungan kepada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tinggi tidak melimpahkan sokongan untuk GTA seperti yang diharapkan.

SOKONGAN SABAH DAN SARAWAK, MEMBENTUK BLOK BORNEO

Naratif memperkasakan hak Sabah dan Sarawak menjadikan PRU-15 pemangkin pembentukan Blok Borneo. Namun begitu hal tersebut menjadikan PRU-15 bersifat ‘lokal’ yang digarap melalui perjanjian MA63 secara berlebihan berbanding melihat PRU sebagai platform untuk memilih Kerajaan di peringkat persekutuan.

Sepanjang cerapan dilakukan, politik lokal Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada politik oligarki dalam konteks elit setempat. Walaupun isu-isu hak Sabah dan Sarawak diketengahkan, aspek calon masih menjadi faktor terbesar mempengaruhi bukan sahaja pengundi malah jentera parti. Tiga angkubah terbesar yang melatari PRU-15 di Sabah dan Sarawak ialah hubungan Negeri-Persekutuan, sentimen perkauman dan kewilayahan serta isu-isu setempat.

Berbanding Sarawak, kocakan politik Sabah lebih bergelora disebabkan perebutan kerusi antara BN-GRS, PH, WARISAN dan beberapa parti lokal serta calon Bebas. Sabah dan Sarawak berpotensi untuk menghantar calon Bebas ke Parlimen terutamanya di P181 Tenom dan P202 Sri Aman.

Parti-parti baharu seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberi tentangan yang signifikan kepada parti-parti besar dan utama di Borneo.

PERSONA ANWAR, PRESTASI ISMAIL SABRI DAN REKOD PENCAPAIAN MUHYIDDIN JADI TARUHAN

Sejak kempen bermula nama-nama ini diangkat sebagai taruhan oleh gabungan masing-masing, dijual sehabis mungkin. Berbanding nama besar mereka, manifesto yang ditawarkan kurang diangkat oleh mana-mana gabungan dalam siri-siri jelajah atau ceramah-ceramah dalam pilihan raya kali ini.

Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang PH. Naratif Tambun akan menghantar seorang Perdana Menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi.

Reputasi cemerlang Ismail Sabri sepanjang 14 bulan menjadi Perdana Menteri dijadikan modal penting buat BN sepanjang berkempen. Namun begitu, pergeseran dalaman BN tidak berupaya memposisikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ yang meyakinkan dalam PRU kali ini.

Manakala PN berterusan memanfaatkan rekod pencapaian Muhyiddin sepanjang menerajui negara dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 dulu. Aura ‘Abah’ dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengembalikan nostalgia kepimpinan beliau menabur bantuan ketika rakyat dihimpit masalah Covid-19.

MEMAHAMI PENGUNDI KALI PERTAMA DAN PENGUNDI MUDA

Seramai tujuh juta atau 33 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah pengundi kali pertama akan mengundi dalam pilihan raya kali ini. Kelompok ini ibarat anak dara pingitan yang menjadi rebutan semua pihak yang cuba untuk memikat perhatian mereka.

Sepanjang tempoh kempen dan kajian lapangan ini dijalankan, penyelidikan mendapati bahawa kelompok ini dikelaskan sebagai ‘wild voters’. Mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka. Tiada istilah undi adalah rahsia bagi mereka. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi dan lokaliti.

Kami mendapati pengundi muda luar bandar cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa. Bagi pengundi muda bandar walaupun cuba dipengaruhi oleh pilihan keluarga, mereka kekal dengan pilihan masing-masing. Namun begitu majoriti mereka masih belum membuat keputusan.

Disebalik keghairahan dan keterujaan kelompok ini keluar mengundi tinggi, rata-rata responden yang ditemui menyatakan bahawa mengundi adalah bebanan dan tanggungjawab yang besar. Ini kerana pendedahan terhadap politik dan demokrasi yang tidak cukup, kesedaran sivik yang rendah disamping semangat patriotik serta asas kenegaraan yang tidak seimbang.

KERUSI PANAS DAN KELABU MENUNGGU AYUNAN UNDI SAAT AKHIR

Sepanjang kajian beberapa kerusi yang termasuk di dalam kerusi panas melibatkan pertembungan calon ‘heavyweight vs. heavyweight’ dan calon popular di kawasan mencabar.

Kedudukan kerusi ini memperlihatkan pengundi atas pagar berada di dalam peratusan yang tinggi. Kebanyakan menyatakan keputusan akhir mereka mungkin diputuskan hingga saat-saat akhir pengundian.

Ini menjadikan kerusi-kerusi tersebut sukar untuk dilakukan prediksi tepat kerana saingan sengit (neck to neck) dan ayunan saat akhir yang sukar dijangka. Mana-mana pihak yang memperoleh undi ayunan akhir akan muncul pemenang.

Keputusan tersebut akan menimbulkan ‘upset’ kepada jangkaan awal sama ada buat calon ‘favorite’ ataupun parti-parti tertentu. Antara kerusi-kerusi sengit dan kelabu adalah seperti di berikut:

Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.

ELEMEN WARLORD, PERCATURAN OLIGARKI DAN SABOTAJ PARTI

Strategi BN menukar calon besar-besar mencetuskan tindak balas yang sukar dikawal sehingga laporan ini ditulis. Ia mengakibatkan kecelaruan dan runtuhnya semangat juang jentera yang dikuasai oleh ‘warlord’ yang tidak dicalonkan.

Tindakan Pengerusi BN yang membelakangi dan tidak menyantuni oligarki serta proses ‘housekeeping’ parti tidak berjalan dengan baik. Akibatnya sama ada penggerak parti menzahirkan protes tidak keluar mengundi ataupun menghalakan undi kepada parti lawan.

Kerusi seperti P026 Ketereh, P086 Maran, P095 Tanjong Karang, P126 Jelebu, P155 Tenggara dan P156 Kota Tinggi antara yang dikenal pasti berpotensi untuk berlaku sabotaj dalaman parti kepada calon baharu.

Senario Sabah agak unik walaupun nampak kesepakatan GRS-BN membelah kawasan secara saksama untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri ternyata mengundang reaksi pengundi yang berbeza.

Bagi kawasan yang tradisinya ditandingi oleh BN tetapi diserahkan kepada GRS menyebabkan pengundi tegar mereka sukar untuk mengundi GRS. Sebaliknya juga berlaku di kerusi GRS yang diserahkan kepada BN. Kerusi P167 Kudat, P178 Sipitang dan paling kritikal pertembungan antara PBRS (BN) dan GRS di kerusi P179 Ranau dan BN dan PN di kerusi P183 Beluran.

Rata-rata responden yang kami temui di lapangan kajian menyatakan pertembungan tersebut akan menguntungkan parti Warisan sekiranya berlaku sabotaj dan undi protes.

PREDIKSI ILHAM

Tiada gabungan parti yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi. Dengan mengambil kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus, berikut adalah prediksi kami terhadap 222 kerusi Parliman yang dipertandingkan.

Kategori

BN

PH

PN

GTA

50-50

Jumlah

70-100% etnik Melayu

38

6

24

1

6

75

50-69% etnik Melayu

9

30

1

-

6

46

Bawah 50% etnik Melayu

1

43

-

-

-

44

Jumlah

48

79

25

1

12

165

Jadual 1: Unjuran 165 kerusi Parlimen di Semenanjung

Kategori

BN

PH

GRS

GPS

PBM

Warisan

Bebas

50-50

Jumlah

Sarawak

-

6

-

18

1

-

-

6

31

Sabah/Labuan

3

2

6

-

-

6

1

8

26

Jumlah

3

8

6

18

1

6

1

14

57

Jadual 2: Unjuran 57 kerusi Parlimen di Borneo

Parti / Gabungan

Jumlah

Peratusan

Pakatan Harapan – PH

86

39.2

Barisan Nasional – BN

51

23.0

Perikatan Nasional – PN

25

11.3

Gabungan Parti Sarawak – GPS

18

8.1

Parti Warisan

6

2.7

Gabungan Rakyat Sabah – GRS

6

2.7

Gabungan Tanah Air – GTA

1

0.5

Parti Bangsa Malaysia

1

0.5

Bebas

1

0.5

50-50 / Sengit

26

11.7

Jumlah

222

100

Jadual 3: Unjuran keseluruhan dan peratusan untuk keseluruhan 222 kerusi

 

PENUTUP

Kurang daripada 24 jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru. Semakin tinggi undi Melayu yang ‘dicuri’ PN akan memberikan kelebihan kepada PH untuk mempertahankan dominasinya di kawasan tersebut.

PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar. Namun begitu, ianya masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.

BN masih betah bertahan di kawasan Melayu di sebalik kekurangan dan jentera yang berkecamuk kerana sokongan kuat pengundi putih mereka. Kepimpinan Zahid Hamidi selaku Jeneral parti menjadi liabiliti dan gagal membawa lonjakan sokongan buat BN. Beliau juga gagal mengantikan peranan ‘Bossku’ yang disaksikan dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

 

Disediakan oleh

Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)

 

LATAR BELAKANG KAJIAN

Cerapan dan observasi kajian akhir Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi Pilihan Raya Umum ke-15 ini dilaksanakan selama tiga minggu bermula 30 Oktober 2022 sehingga 17 November 2022 yang melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh negara.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini melibatkan semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih secara persampelan rawak berstrata. Responden yang diperolehi meliputi semua segmentasi jantina, kaum, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.

Data kuantitatif yang diperolehi melalui borang kaji selidik dan kualitatif yang dikumpulkan melalui perbincangan kumpulan sasar ini telah disusun secara tematik bagi memudahkan kefahaman secara berstruktur dan memandu kronologi topik perbincangan.

 

Mengenai ILHAM CENTRE

ILHAM adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

ILHAM berpendapat, dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

ILHAM Centre boleh dihubungi melalui email admin@ilhamcentre.my dan dilayari melalui website www.ilhamcentre.my.