SOMBONGNYA TOK MAT – “SAYA TIMBALAN PRESIDEN, SUKA HATI SAYALAH BERTANDING DI MANA”

 




Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun tidak menyatakan kerusi mana termasuk Rembau seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN menegaskan kedudukan calon dan kerusi bagi gabungan itu mahupun UMNO belum dimuktamadkan.

“Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti.

“Saya hanya bagi tahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana.

 

“Saya tak pernah cakap nak bertanding (kerusi Parlimen) di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati saya lah, saya Timbalan Presiden,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Mini Ekspo Keselamatan dan Kesihatan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Elvina Hijayu 3B, Bandar Sri Sendayan, dekat sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sri Sendayan selaku penganjur program, Ahmad Murshidi Kamal.

Program dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran agensi kerajaan, ceramah penjagaan kesihatan dan keselamatan, jualan produk usahawan dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15.

Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, BN/UMNO tidak akan mengamal dasar menetapkan calon tertentu perlu kekal di kerusi masing-masing.

Beliau berkata, setiap negeri akan mencalonkan nama dan kerusi masing-masing sebelum rundingan dibuat di peringkat kepemimpinan tertinggi BN untuk menentukan dan membuat keputusan.

“Kita akan lihat siapa yang dianggap layak dan boleh dipertimbangkan untuk kita jadikan sebagai calon.

“Kriteria utama adalah hendak menang dan saya tiada isu berkaitan hubungan peribadi atau agenda tertentu (dalam pemilihan calon) dan sebagainya.

“Keutamaan saya sebagai Pengarah Pilihan Raya adalah hendak menang, bila nak menang kita kena cari kaedah nak menang walaupun calon itu dah lama di situ (kerusi), tapi kalau dia boleh menang, kenapa tidak (dipilih),” katanya.

Sumber – https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/09/998656/di-parlimen-mana-suka-hati-sayalah-saya-timbalan-presiden


No comments: