Dr Afif gagal jaga Seberang Jaya, mahu ke Shah Alam pula?




Pengumuman ADUN Seberang Jaya yang melompat, Dr Afif Bahardin mahu bertanding di parlimen Shah Alam mahu pun Permatang Pauh merupakan langkah gelojoh dan tamak.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fahmi Zainol berkata, Dr Afif seharusnya mengukur baju di badan sendiri kerana prestasi ADUN 'melompat' itu tidak memuaskan di DUNnya sendiri.


"Mandat yang diberikan oleh pengundi Seberang Jaya kepada beliau selaku ADUN juga gagal dijaga dengan baik selepas beliau mengkhianati pengundi dengan aksi lompat dari KEADILAN ke Bersatu.


"Hakikatnya, sebagai ADUN Seberang Jaya, beliau sendiri jarang kelihatan di kawasan, malah banyak masalah kawasan beliau yang diselesaikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh YB Nurul Izzah Anwar


"YB Nurul secara konsisten mengangkat isu-isu setempat dan berkhidmat kepada warga Permatang Pauh semenjak dipilih," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Permatang Pauh itu lagi, Nurul telah pun berjaya dalam tekad politik membasmi kemiskinan menerusi Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh, kajian pertama pasca Covid-19 di Malaysia yang membuahkan hasil sehingga Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini disemak semula mengambil kira dimensi ketersisihan lain yang turut dinyatakan dalam kajian tersebut.


Justeru, Fahmi menimbulkan sikap Dr Afif yang tidak komited dalam menjaga kawasannya dan membayangkan pula impian yang tidak pasti.


"Persoalannya siapa yang tidak komited, apabila rambang mata mencari kerusi? Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.


"Kami yakin, pengundi Seberang Jaya dan Permatang Pauh secara keseluruhannya bijak untuk menilai berdasarkan rekod serta khidmat bakti di lapangan dan tidak berminat dengan individu yang rambang mata mencari kerusi serta gagal mengangkat mandat yang diberikan oleh rakyat," katanya lagi.

 

No comments: