Di mana kedudukan tukaran Ringgit dan USD?

 






NIK HASYUDEEN


Di mana kedudukan tukaran Ringgit dan USD?

Bagi orang-orang yang berumur 23 tahun ke bawah, mereka dilahirkan selepas Krisis Kewangan Asian 1997-1998. Mereka tidak mengalami zaman yang mana pasaran saham jatuh merudum, nak dapat pinjaman bank susah, banyak bangunan dilelong dan sebagainya.

Di dalam suasana ekonomi sedemikian, kadar tukaran Ringgit kepada Dollar Amerika (USD) naik dari lebih kurang 2.5 kepada 4.4. Ada pelbagai khabar angin bahawa kadar ini akan mencecah 5. Maka kerajaan di masa itu telah mengikat (peg) kadar tukaran kepada 3.80. Ini berjalan sehinggalah tahun 2015.

Minggu ini kadar tukaran Ringgit USD telah mencecah tahap psaikologi 4.5. Kedudukannya hampir sama dengan era krisis seperti yang dinyatakan di atas. Tidakkah ini memerlukan tindakan yang serius bagi menstabilkan nilai Ringgit?

Bagi saya, tindakan BNM menaikkan OPR kepada 2.25 adalah amat munasabah dan lembut. Kita kena ingat OPR sebelum bermulanya Pandemik Covid-19 ialah 2.75. Kadar tukaran Ringgit USD di ketika itu ialah dalam 4.20.

Dasar monetori yang diuruskan oleh bank-bank pusat seperti BNM adalah bagi menjamin kestabilan harga. Apabila ekonomi dibuka selepas Pandemik Covid-19, kegiatan ekonomi menjadi rancak dan permintaan meningkat. Di dalam masa yang sama, bekalan masih belum pulih ke tahap sebelum pendamik kerana pelbagai kekangan. Di Malaysia, di antara sebab utama ialah bekalan buruh yang terhad sehinggakan industri seperti kelap sawit pun rugi dengan besar kerana buah yang ranum di atas pokok tidak dapat dituai kerana pekerja asing tidak boleh masuk.

Satu lagi masalah selepas pembukaan ekonomi ialah kerencatan rantaian bekalan. Kapal di laut tak cukup. Kapalterbang belum terbang semua dan sebagainya. Syarikat pengangkutan amat berhati-hati untuk menormalisasi perniagaan mereka kerara takut penutupan ekonomi berlaku kembali. Jadi, kos pengangkutan naik. Bila harga minyak dan gas pun naik disebabkan permintaan yang mendadak, lagilah mahal kos pengangkutan.

OPR yang rendah menyebabkan kos pinjaman/pembiayaan rendah. Ini menjadikan pengguna tidak begitu memikirkan kos ini apabila membuat pinjaman/pembiayaan dan berbelanja. Ini menyumbang kepada peningkatan permintaan.

Apabila permintaan tinggi dan bekalan terhad, harga barangan secara semula jadinya akan naik. Di negara-negara lain, kenaikan harga ditanggung sebahagian besarnya oleh rakyat. Hanya apabila ianya melampau barulah kerajaan campur tangan. Di negara ini lain pula kaedahnya. Semua kena ditanggung oleh kerajaan. Walaupun kerajaan mendapat pendapatan tambahan disebabkan kenaikan harga minyak, ianya tidak sama dengan pertambahan kenaikan perbelanjaan disebabkan subsidi. Jadi kena pinjam dan ini akan dibayar di masa hadapan oleh anak cucu kita. Ibubapa dan tok nenek mereka sebenarnya mengambil apa yang sepatutnya dirasai oleh generasi yang akan datang.

Kenaikan OPR perlu dilihat di dalam beberapa aspek:

1. Kadar OPR masih rendah jika dibandingkan dengan kadar sebelum pendemik

2. Kadar tukaran Ringgit USD berada di tahap yang lebih kurang dengan tahap semasa krisis kewangan di akhir tahun 90an

3. Bank Pusat Amerika dengan tegas menyatakan mereka mahu menurunkan inflasi dari lebihkurang 8% sekarang kepada 2% tak kira apa nak jadi. Caranya ialah dengan menaikkan lagi kadar faedah di sana.

4. Apabila kadar faedah di Amerika naik, kadar tukaran Ringgit USD akan lebih tertekan kerana aliran dana akan lebih deras mencari USD. Ingat, kadar tukaran Ringgit USD sekarang agat tidak mententeramkan.

5. Oleh kerana kita menggunakan USD di dalam kebanyakan impot, kita akan mengimpot lebih banyak inflasi jika kadar tukaran Ringgit menurun lagi. Naik lagi harga barang.

Oleh itu kenaikan kadar pinjaman domestik akan mengurangkan perbezaan kadar faedah (interest rate differential) yang boleh menstabilkan kadar tukaran asing. Di dalam masa yang sama ianya juga akan menstabilkan permintaan yang disasarkan untuk mengurangkan kadar inflasi.

Sebagai rakyat, kita kena cuba ambil tahu perkara-perkara asas di dalam pentadbiran dan pengurusan negara seperti polisi monetori ini. Jadi, barulah permintaan dan juga desakan kita menjadi lebih munasabah. Jika polisi populis dibuat hanya supaya kita mengundi dengan bahagia, apa yang nak kita terangkan kepada cucu cicit kita berkenaan warisan hutang yang mereka kena pikul sebab kita nak bahagia setiap masa?

Anda semua bebas untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan saya. Saya suka melihat sesuatu dari gambaran yang lebih besar dan tidak meletakkan kepentingan semasa lebih besar dari apa yang saya kita kepentingan yang lebih besar dan munasabah. Jika tok nenek kita bersusah payah untuk menyenangkan kita, di mana semangat itu di dalam kontek cucu cicit kita pula?

 

No comments: