KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN PAHANG




 

Kenyataan Media

Angkatan Muda Harapan Pahang

17 Ogos 2022

Merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari yang menjemput penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Pahang.

Sehingga waktu kenyataan ini dikeluarkan, PH mempunyai 9 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang mana 7 daripadanya adalah daripada DAP dan 2 lagi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berbanding dengan PAS yang hanya mempunyai 8 kerusi di DUN Pahang. Maka boleh dirumuskan daripada perbezaan kerusi ini adalah kedudukan PH sebenarnya lebih kukuh jika dibandingkan dengan PAS di negeri Pahang.

Tidak dinafikan PH juga mempunyai visi dan impian yang sama dengan PAS; ingin menumbangkan kerajaan BN dan melakukan reformasi pentadbiran di Pahang sebagaimana yang telah dilaksanankan di Selangor dan Pulau Pinang. Namun begitu, PH tidak mungkin boleh melupakan kejadian di mana PAS telah bersekongkol bersama Bersatu dan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020. PAS yang telah “tidur sebantal” bersama BN melalui konsensi Muafakat Nasional, hanya berpisah dan kembali memusuhi BN semula setelah menjalinkan hubungan luar dengan Bersatu dan kemudiannya menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan ini menunjukkan bahawa PAS adalah satu parti yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa. Tindakan ini juga membuktikan bahawa sebarang kerjasama dengan PAS tidak menjamin sesuatu hubungan politik yang stabil dan utuh. Satu soalan yang ingin diajukan kepada PAS ialah bolehkah PAS memberikan jaminan untuk tidak bertanding di 9 kerusi yang dimenangi oleh PH di Pahang dan memastikan komponen mereka dari PN juga tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut?

Oleh itu, saranan dari Ketua Pemuda PAS ini wajar dibalas dengan perkataan Inggeris yang berbunyi “thank you, but no thank you”. Tiada keperluan bagi penyokong PH untuk memberikan sokongan kepada PAS mahupun PN yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH di peringkat persekutuan dan menjadi satu kerajaan paling gagal dalam sejarah politik negara kita.

PH selaku “goverment in waiting” perlu bekerja keras untuk meraih semula sokongan dari rakyat. PH Pahang mesti mempertahankan 9 kerusi yang telah dimenangi pada PRU 14 dan merangka strategi untuk menawan negeri Pahang. Parti anggota PH perlu memperbaharui bekerjasama dan memelihara keutuhan yang sedia ada. Fokus utama adalah untuk memenangi pilihanraya yang akan datang agar nasib rakyat Pahang dan alam sekitarnya dapat dipelihara dan diuruskan dengan lebih baik dan telus.

Young Syefura Othman

Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang

Leong Wai Hong

Ketua Pemuda Sosialis DAP Pahang

Mohd Mustaqim Bin Abd Jalil

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang

Muhammad Ibrohim bin Mazalan

Ketua Pemuda AMANAH Pahang

 

No comments: