Rafizi dedah syarikat palsu pindah wang dari projek LCS




SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa Alizes Marine Limited merupakan syarikat yang ditubuhkan untuk memindahkan wang daripada projek kapal tempur pesisir (LCS) ke akaun-akaun di luar negara.

Beliau berkata, syarikat itu juga dinamakan dalam siri pendedahan Paradise Papers dan Panama Papers tentang bagaimana syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang daripada aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia.

Menurutnya, siasatan dalaman menamakan Alizes Marine Limited sebagai salah satu syarikat yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sebegini.

“Alizes Marine Limited dilantik oleh subkontraktor projek sebagai pembekal alat-alat gantian untuk projek ini atas cadangan subkontraktor daripada Perancis, DCNS atau sekarang dikenali sebagai Naval Group, kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind.

“Siasatan dalaman projek LCS juga membuat penemuan antaranya, Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France).

“Pengurusan projek LCS melantik Alizes Marine France setelah dimaklumkan ia mempunyai lesen eksport sedunia yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, maklumat itu sebenarnya palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.

Jelas beliau, meskipun projek LCS menerima invois yang seolah-olah datang daripada Alizes Marine France, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat menerusi akaun di Singapura yang dimiliki syarikat lain yang menggunakan nama Alizes Marine Limited (hampir sama tetapi berlainan).

“Kesimpulan siasatan dalaman secara terang-terangan menamakan penglibatan DCNS dalam skim penyelewengan dana ini di mana DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat daripada pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia,” ujarnya.

Menurut Rafizi, para penyiasat turut menyimpulkan DCNS dan sebuah lagi syarikat Perancis adalah sebahagian daripada skim yang memindahkan wang projek tersebut yang melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Jelasnya, perkara itu disahkan apabila penyiasat membandingkan jumlah yang dibayar oleh projek LCS untuk membeli alat-alat gantian kepada Alizes Marine Limited berbanding jumlah perolehan yang dilaporkan dalam penyata kewangan Alizes Marine France bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Sepanjang tempoh tersebut, subkontraktor projek LCS membayar sekitar RM210 juta kepada Alizes Marine France (berdasarkan invois-invois yang dihantar tetapi dibayar ke akaun-akaun lain di bawah Alizes Marine Limited) bagi pembelian alat-alat ganti.

“Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya sekitar RM18 juta.

“Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki.

“Sebab itu saya bertegas bahawa skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa daripada seorang pesara Panglima Tentera Laut yang didakwa baru-baru ini,” tegasnya.

Katanya, jika skim-skim yang melibatkan syarikat pesisir luar pantai dituduh bersabit dengan DCNS yang mempunyai rekod membayar rasuah kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa skandal Scorpene dahulu, maka rakyat wajar terus menuntut siasatan untuk mengetahui siapa dalang sebenar yang mempunyai kuasa melindungi DCNS.

“Hanya Najib, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang boleh menjawab soalan ini,” katanya.

LCS

Rafizi Ramli


No comments: