Undi PH jahil agama?



Terkejut saya membaca kenyataan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) berkenaan perkara ini. TGHH turut menambah PH sebagai lebih teruk daripada UMNO.

Sebagai seorang pengundi PH pada PRU-14 yang lepas, suka saya ingin membetulkan kenyataan ini.

Saya dan ramai rakyat Malaysia mengundi PH sehingga menang kerana ingin menolak BN. Selain itu PH juga adalah gabungan yang lebih meyakinkan berbanding gabungan Pas Ikatan Gagasan Sejahtera.

Mari kita lihat beberapa persoalan lain.

1. Adakah mengundi PH itu jahil agama apabila kerajaan PH menurunkan cabutan judi dari 22x semasa zaman BN ke 8x sahaja. Dan yang peliknya zaman PN dimana TGHH turut berada dalam kerajaan tersebut menaikkan semula cabutan judi ke 22x. Mana yang jahil agama sebenarnya?

2. Seperti mana kita sedia maklum, seramai 4 orang Tan Sri dipecat oleh DS Najib. Mereka ialah Gabenor Bank Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Semua ini adalah kerana cubaan untuk membongkar kes 1MDB.

Apabila kerajaan PH mendapat mandat, DS Najib telah didakwa dan mahkamah tinggi serta mahkamah rayuan telah menjatuhkan hukuman bersalah kepada DS Najib malah menggelarkan DS Najib sebagai memalukan Negara.

Soalan dia adakah pengundi PH jahil agama apabila dengan mengundi PH kes 1MDB berjaya dibawa ke mahkamah.

3. Adakah benar PH lebih teruk berbanding UMNO, berapakah jumlah orang Pas yang dibunuh atau terbunuh semasa PH memerintah untuk dibandingkan dengan kematian ahli Pas dalam peristiwa Memali semasa dibawah pemerintahan UMNO

4. PH memberikan kerajaan Kelantan wang tunai royalti sebanyak RM400 juta. Dan pemberian ini terus kepada kerajaan negeri untuk negeri gunakan sepenuhnya. Sebaliknya UMNO menafikan wang royalti petrolium untuk Kelantan dan duit itu digunakan oleh UMNO melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) jadi soalanya mana lebih teruk PH ke UMNO?

5. Undi PH kerana jahil agama, tetapi kerajaan PH lah yang pulihkan Tabung Haji (TH) sehingga ada duit boleh beli bangunan di UK dengan nilai RM 1.3 bilion. Langkah PH menyelamatkan dan membetulkan TH telah dipuji oleh akauntan Negara. Jadi benarkah pengundi PH jahil agama sedangkan PH selamatkan institusi kewangan umat Islam?

6. Siapakah yang jahil agama apabila menyeru mengundi calon MCA di kerusi Tg Piai yang awalnya dimenangi oleh calon Melayu Islam? Kemenangan MCA hasil dari seruan tersebut kemudianya menyebabkan suara Melayu Islam semakin kurang di Parlimen. Sekali lagi siapa jahil agama dalam bab ini?

7. Benarkah undi PH itu jahil agama, sedangkan dengan mengundi PH harga barang sangat terkawal dan harga mampu beli oleh rakyat terbanyak, sebaliknya dengan kerajaan PN harga barang tidak terkawal dan ramai yang terpaksa ikat perut. Bukankah kerajaan kebajikan itu anjuran Islam?

8. Adakah undi PH jahil Islam apabila kerajaan PH berjaya bentang rang undang-undang berkaitan profesyen peguam syarie. Adakah menjadikan peguam syarikat itu lebih profesional menjadi jahil agama?

9. Apakah PH lebih teruk daripada UMNO apabila kerajaan PH memberikan semua wakil rakyat peruntukan pembangunan?

10. Adakah PH lebih teruk daripada UMNO apabila PH menjemput kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk mesyuarat Menteri-Menteri Besar, yang mana sebelum ini dinafikan oleh kerajaan UMNO.

Saya kira cukup 10 perkara untuk difikirkan. Moga tuan guru berfikir dahulu sebelum membuat tuduhan. Rakyat amat bijak untuk menilai. Tak perlu membuat naratif sonsang yang akhirnya mengotorkan diri sendiri.

 

No comments: