JAWAPAN PERTANYAAN LISAN MASALAH AIR KELANTAN

 Menteri Air Dedah Rahsia Masalah Air Di Kelantan


======


JAWAPAN PERTANYAAN LISAN MASALAH AIR KELANTAN 


Soalan:


Nik Nazmi bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan punca masalah bekalan air di Kelantan dan rancangan penyelesaiannya.


Jawapan: 


Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian sentiasa komited dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan air bersih dan sedar akan permasalahan yang membelenggu rakyat di Negeri Kelantan.


2. Daripada analisa yang dibuat, masalah utama bekalan air di Kelantan bertitik-tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang tidak mampan. 


Perkara ini menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk Kelantan.


3. Rentetan daripada itu juga, AKSB menghadapi masalah untuk membangunkan aset air bagi memenuhi permintaan seiring dengan pertumbuhan pembangunan, menaiktaraf aset-aset sedia ada bagi meningkatkan rizab margin, kepatuhan kepada parameter kualiti air minum dan melaksanakan program penggantian paip bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).


Tuan Yang Di-Pertua,


4. Penyelesaian kepada isu bekalan air bersih di Kelantan melibatkan beberapa pendekatan. 


Ini termasuk mengukuhkan kedudukan kewangan AKSB melalui penyelarasan tarif air serta memantapkan tadbir urus AKSB.


5. Bagi meningkatkan rizab margin air terawat kepada tahap yang memuaskan, pelaksanaan projek-projek fizikal seperti naiktaraf dan 

pembinaan LRA baharu serta program penggantian paip akan menjadi fokus utama. 


Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan seterusnya meningkatkan tahad perkhidmatan adalah seperti berikut :


i. Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) dengan anggaran peruntukan bernilai RM207.2 juta melalui pinjaman kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijangka akan siap 

menjelang tahun 2025. 


LRA yang terlibat ialah LRA Chicha 

Fasa 2 berkapasiti 10 juta liter harian (JLH), LRA Tanjung Mas berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dan LRA Bukit Chupak 

berkapasiti 10 JLH.


ii. pembinaan LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti 2 JLH di bawah pembiayaan pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan yang kini telah siap 96% dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Ogos 2022;


iii. Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan melalui Pendekatan 1 berjumlah RM69.95 juta dijangka siap 

pada tahun 2022. Skop kerja termasuk pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, 

pembaikan tangki-tangki dan penyediaan Geographic Information System (GIS); dan


iv. Pembangunan Sumber Air: Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) telah bermula sejak 26 Januari 2022 

dengan tempoh kajian selama 18 bulan. 


Kajian ini bertujuan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan 

di lembangan-lembangan sungai di Negeri Kelantan untuk cadangan pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS).


Tuan Yang Di-Pertua,


6. Unjuran permintaan air Kelantan pada 2030 adalah sebanyak 860JLH. Menyedari perkara ini, Kementerian mencadangkan pembinaan 

TAPS dan LRA Bersepadu dengan kapasiti 500 JLH di Labok, Jajahan Machang. 


Cadangan ini akan melibatkan pembekalan air ke hampir keseluruhan jajahan di Kelantan terutamanya Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.


7. Dalam hal ini, Kementerian telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan TAPS Machang berkapasiti 500 JLH di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RP3 RMKe-12). Projek ini dijangka dapat meningkatkan rizab margin kepada 30%.

 

 Sekian, terima kasih.


=============


1. Akhirnya apa yg saya sebut mengenai punca masalah air di Kelantan sedikit terjawab : 'Masalah utama bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada KELEMAHAN TADBIR URUS....'


2. Itu adalah sebahagian apa yg disebut sendiri oleh YB Menteri Air dalam jawapan lisan kpd soalan lisan  YB Nazmi, MP Setiawangsa di Dewan Rakyat.


3. KELEMAHAN TADBIR URUS!


Itu lah sebab dan kisahnya.


Itu lah sebab saya memaksa diri menegur perjalanan Aksb semenjak saya masih dalam Kerajaan Negeri.


Kemuncaknya adalah saya berhadapan dengan Dato Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden Pas yg mempengerusikan pertemuan saya dengan Dewan Harian Pas Malaysia pada tahun 2015.


Namun, teguran saya bersama salinan dapatan audit ke atas Aksb,, tidak pun diambil peduli. 


Allah Maha Berkuasa. 


Apa yg saya tegur dulu disahkan oleh YB Menteri sendiri tujuh tahun kemudian. 


4. APA PUNCA KELEMAHAN TADBIR URUS ITU?


Terus terang saya katakan, ia turut didalangi dan di lindungi oleh Orang Politik.


Selagi Pemimpin sedemikian tidak dibersihkan, saya yakin masalah Aksb tetap tidak akan berakhir.


5. Apa pun cadangan penyelesaian dan berapa pun bajet yg diberikan, selagi semua cadangan dan bajet yg dipohon dibuat dalam kerangka tujuan tersembunyi sedia ada, ia tidak banyak membantu Rakyat Kelantan mendapat bekalan air terbaik dalam masa yg dekat.


6. Apa pun, terima kasih kpd YB Menteri Air yg akhirnya berani menyerlahkan sedikit kebenaran.


7. Soalan saya pada Pak Menteri, apa tindakan ke atas semua tingkat pengurusan Aksb itu sendiri yg dikenal pasti mengalami masalah KELEMAHAN TADBIR URUS dengan makna yg luas itu?


Husam Musa

28 Julai 2022


#SaveKelantan

#SelamatkanKelantan


No comments: