PAS SAJA BUAT BUAT KELIRU ...

 

Bon Odori: PAS keliru atau mengelirukan?





Dikhabarkan Idris Ahmad, menteri hal ehwal agama, tidak mahu bercakap lagi mengenai kontroversi Bon Odori yang beliau sendiri cetuskan.

Ditemui pada satu majlis di Hulu Langat Sabtu lalu para wartawan bertanya, “Datuk akan hadir seperti Sultan Selangor minta?” Ini merujuk titah baginda Sultan Selangor supaya Idris hadir festival Bon Odori untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya”.

Idris geleng-geleng dan meminta wartawan tanya “soalan lain”. Lantas wartawan minta beliau komen akan cadangan mufti Perlis supaya jabatan agama Islam hadir dan pantau festival Jepun itu.

Sekali lagi Idris mahu “soalan lain” sambil berkata, “Bon Odori ni saya tak nak panjang sangat”. Ertinya mahu “pendekkan cerita”. Atau dalam kata lain habiskan cerita. Letak noktah.

Namun isu Bon Odori, yang seperti dikatakan tadi dicetus Idris sendiri, tidak habis begitu sahaja. Belum selesai. Bahkan beberapa persoalan besar timbul.

Sebelum berbicara persoalan besar yang dimaksudkan, elok imbas kembali apa yang sudah terjadi.

Kita tahu kontroversi tercetus apabila 6 Jun lalu Idris menyarankan umat Islam tidak menyertai festival Bon Odori kerana mendakwa perayaan itu “dipengaruhi unsur agama lain”. Ini menurut beliau “berdasarkan kajian Jakim” atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Di Malaysia, festival Bon Odori tahun ini diadakan di Shah Alam 16 Julai ini dan Pulau Pinang 30 Julai. Kalau diambil kira festival Bon Odori yang diadakan di luar Jepun, perayaan di Shah Alam Selangor (yang sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya) dikatakan yang terbesar.

Lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat perayaan itu dan tidak melarang sesiapa yang mahu menyertainya.

Titah Sultan Selangor, baginda sendiri pernah hadir perayaan itu pada 2016 dan menurut pemerhatiannya, acara sambutan tidak berbentuk keagamaan atau ritual (syirik).

Baginda meminta Idris turun padang melihat sendiri festival itu. Sultan Selangor tidak mahu menteri berkenaan menggunakan platform Jakim untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejas imej dan reputasinya”.

Sultan Selangor juga tidak mahu pihak tertentu khususnya orang politik menggunakan isu menyentuh sensitiviti agama untuk kepentingan dan meraih populariti semata-mata.

Sememangnya kita semua tahu ada ahli politik yang sering berbuat demikian – menggunakan agama untuk mencipta isu yang seterusnya dieksploitasi bagi meraih sokongan dan undi orang Melayu-Islam.

Bagaimanapun parti Idris, PAS, tetap menyarankan umat Islam tidak menyertai Bon Odori. Dewan Ulama dan Dewan Muslimah PAS menyokong pendirian Idris yang merupakan naib presiden parti. Ertinya mereka melihat ada unsur syirik dalam Bon Odori.

PAS Selangor mahu kerajaan negeri halang umat Islam hadir Bon Odori “jika libat unsur agama”. Agak aneh mereka memilih untuk berkata “jika libat unsur agama” kerana PAS, termasuk menerusi Dewan Ulamanya, sudah pun memutuskan Bon Odori ada unsur keagamaan dan syirik. Maka apa perlunya berkata demikian apabila sudah mendapati Bon Odori ‘bersalah’?

Timbul persoalan seterusnya. Adakah PAS mengingkari titah Sultan Selangor? Melanggar arahan baginda? Atau sekurang-kurang mahu bertindak seperti itu?

Pastinya PAS dan penyokongnya mendakwa PAS ‘berani’ demi mempertahan agama dan akidah umat Islam.

Namun saya kira, apabila Sultan Selangor membuat sebarang keputusan berkaitan agama tentunya baginda bertindak mengambil kira kepentingan setiap umat Islam dan akidah mereka setelah mendapat pandangan bernas para ulama. Keputusan itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Adakah pada pandangan PAS mereka lebih Islamik dan lebih arif tentang agama berbanding para ulama yang dirujuk Sultan Selangor?

Perlu diingat Sultan Selangor bertindak bukan sahaja dalam kapasiti baginda selaku ketua agama Selangor. Baginda juga pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam atau MKI.

Pemilihan baginda sebagai pengerusi pertama MKI untuk tempoh dua tahun adalah selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 12 Mac 2022, jawatankuasa yang dipengerusikan Allahyarham Ahmad Sarji Hamid sebelum ini, berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak bawah bidang kuasa dan budi bicara raja-raja pemerintah adalah lebih bertepatan MKI dipengerusikan oleh seorang raja.

Mustahil PAS yang mengelar dirinya parti Islam tidak tahu akan perkara ini semua.

Berdasarkan itu juga pada hemat saya walaupun Jakim masih dikategori sebuah agensi kerajaan, ia secara “teknikalnya” boleh dilihat tertakluk bawah MKI yang dipengerusikan seorang raja Melayu (dewasa ini seperti yang dimaklum ialah Sultan Selangor).

Ini juga agak pelik jika PAS tidak tahu hakikat ini.

Apa pun, ini bukan kali pertama Sultan Selangor menegur Idris. Pada April tahun ini, Sultan Selangor bertitah menteri agama dan timbalannya tidak boleh mencampuri urusan jawatankuasa muzakarah.

Sultan Selangor mengingatkan bahawa Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI).

Ini titah baginda ialah kerana Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI. Untuk makluman, menteri agama dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah.

Berbalik isu Bon Odori. Pada hemat saya apa yang berjaya PAS lakukan adalah mencetuskan polemik, perbalahan serta perselisihan di antara umat Melayu-Islam negara ini. Ada, seperti saya, yang tidak setuju dengan pendapat parti itu dan ada yang setuju. Ada yang percaya, ada yang tidak.

Apa pun, apabila Sultan Selangor bertitah sesiapa pun tidak boleh dilarang daripada menyertai festival itu bermakna juga sesiapa boleh juga untuk tidak menyertai atas pilihan sendiri berdasar apa jua alasan dan sebab.

Saya mentafsirkan titah Sultan Selangor sebagai baginda menyatakan siapa hendak sertai, pergi sertai dan sesiapa yang tidak mahu juga boleh berbuat demikian. Baginda tidak memaksa sesiapa menyertai atau tidak menyertai.

Tidak ada paksaan cuma baginda tidak mahu Jais menghalang orang yang mahu menyertai festival berkenaan.

Sebaliknya PAS mahu kerajaan menghalang umat Melayu-Islam menyertai perayaan Bon Odori. Wajib halang. Ertinya PAS memaksa.

Saya kerdil dalam soal agama. Bukan agamawan seperti pemimpin PAS. Cuma apa yang saya pernah diberitahu oleh orang alim dan golongan yang arif mengenai agama, Islam tidak memaksa. Tidak ada paksaan dalam Islam, kata mereka. Kata-kata yang dikeluarkan berpandukan al-Quran. Begitu saya dimaklumkan.

Saya juga yakin akan akidah saya. Tidak mungkin pegangan Islam saya tergugat atau terhakis, jika saya memilih untuk ‘jalan-jalan melihat’ sambutan Bon Odori di Shah Alam. Meskipun berdepan amaran ‘syirik’ dan sebagainya daripada PAS.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.