Pelaksanaan hukuman mati perlu moratorium
Pengumuman Kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori tidak lengkap tanpa menguatkuasakan moratorium atau menggantung pelaksanaan hukuman berkenaan terhadap pesalah.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, moratorium amat penting bagi menyelamatkan nyawa para pesalah yang telah dijatuhi hukuman sebelum ini.
“Keputusan Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu langkah baik, progresif dan bersesuaian dengan prinsip asas Hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai Ahli Parlimen saya akan menyokong Rang Undang-Undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori apabila ia dibentangkan di Parlimen nanti.
“Saya menyeru Kerajaan supaya melakukan moratorium perlaksanaan ke atas semua banduan yang sedang menunggu untuk digantung sampai mati yang berada di penjara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, untuk memudahkan perjalanan hukuman dan tidak mengambil masa terlalu lama untuk kajian semula kepada setiap kes yang telah dijatuhi hukuman mati, Hassan mencadangkan agar Lembaga Pengampunan bersidang dan mengampunkan pesalah pesalah yang telah dihukum.
“Saya juga menyeru Lembaga Pengampunan oleh Raja-Raja dan Sultan pemerintah di setiap negeri di Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong agar segera bersidang dengan kerap untuk dapat memberikan Pengampunan Diraja kepada banduan-banduan yang menunggu hukuman mati demi menyelamatkan nyawa mereka.
“Saya berharap penguatkuasaan pemansuhan hukuman mati mandatori inidilakukan secara retrospektif iaitu meliputi ke atas kes-kes hukuman mati yang telah diputuskan terdahulu,” katanya lagi.
Hassan berpendirian pada akhirnya Malaysia haruslah memansuhkan sama sekali hukuman mati di negara ini.