Anwar Ibrahim: TEMPELAK TOMMY THOMAS : Sidang Media Perkenaan Isu Penguasaan Bahasa, Kes Najib, ...


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Tan Sri Tommy Thomas dan meminta bekas Peguam Negara itu melihat diri sendiri ke cermin.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Tommy baru-baru ini yang meminta Anwar melihat cermin dan bertanya pada diri, mengapa beliau belum menjadi Perdana Menteri sehingga saat ini.

Jelas Anwar, Tommy seharusnya melihat kembali sikapnya sewaktu menjadi Peguam Negara dengan beberapa keputusan dan kenyataan kontroversinya.

“Beliau harus melihat ke cermin kerana ketika menjadi Peguam Negara dan dalam bukunya (My Story: Justice in the Wilderness), unsur-unsur perkauman menebal, menghina keupayaan penjawat awam termasuk Jabatan Peguam Negara dengan melabel keseluruhannya secara melampau.

“Tak boleh begitu, takkan tak ada seorang pun (penjawat awam) yang layak. Ini pandangan kolonial yang kita tolak,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said di Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, dalam wawancara bersama sebuah akhbar harian berbahasa Cina, Tommy dilaporkan meminta Anwar bermuhasabah dan melihat kembali mengapa beliau masih gagal menjadi Perdana Menteri sehingga kini.

Anwar juga membidas kenyataan Tommy yang didakwa menuduh tanpa bukti yang mengaitkan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai punca rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Sebagai bekas Peguam Negara, beliau tidak tahu apa peranan dia dan menuduh tanpa bukti terhadap Tun Razak. Kalau dia bawa bukti, tak ada masalah.

“Ini termasuk juga kes bunuh yang masih di mahkamah tapi dia bagi pandangan sedangkan beliau Peguam Negara ketika itu.

“Jadi, ada juga kurang bijaknya yang memerlukan dia melihat ke cermin,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kegagalannya menjadi Perdana Menteri sehingga kini, Anwar berkata, dia sudah pasti akan menjadi Perdana Menteri jika berkompromi dengan pendiriannya.

“Saya pasti sudah jadi Perdana Menteri jika saya berkompromi dengan ‘bail out’, katakan ya pada rasuah, katakan ya pada campur tangan dalam mahkamah.

“Adakah ini kegagalan? Pada saya, ia satu pendirian berprinsip untuk menghormati undang-undang,” jelasnya.

 

 


No comments: