Terangkan maksud ‘under one roof’, bukan tuduh saya tak bagus Bahasa Inggeris, Teresa jawab Zuraida

 

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata Zuraida Kamaruddin perlu menerangkan maksud sebenar apa diperkatakannya dalam wawancara dengan sebuah akhbar yang disiarkan pada 17 Feb lalu.

PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin sepatutnya menjelaskan apa dimaksudkannya dengan tiga agensi minyak sawit “under one roof”.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata Zuraida perlu menerangkan maksud sebenar apa diperkatakannya dalam wawancara dengan sebuah akhbar yang disiarkan pada 17 Feb lalu, bukan menuduhnya tidak bagus dalam Bahasa Inggeris.

Semalam, Zuraida menyifatkan Teresa sebagai individu kurang pemahaman Bahasa Inggeris berhubung cadangannya meletakkan tiga agensi minyak sawit bawah satu bumbung.

Katanya, cadangan untuk meletakkan agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bawah satu bumbung bukan bermakna ia digabungkan.

Zuraida berkata, ia lebih kepada ingin memastikan agensi itu berada di satu tempat bagi memudahkan mereka berkomunikasi untuk memastikan kualiti lebih efektif kepada industri minyak sawit.

Membalas kririkan Zuraida terhadapnya, Teresa berkata ketiga-tiga agensi minyak sawit itu sudah berada bawah kementerian sama.

“Saya rasa lucu bila baca respons Menteri MPIC Zuraida Kamaruddin terhadap kenyataan saya berkenaan cadangan beliau untuk meletakkan MPOB, MPOC dan MPOCC bawah satu bumbung (will be brought under one roof) dalam artikel disiarkan (sebuah akhbar) pada 17 Feb 2022.

“Selepas saya mengeluarkan kenyataan akhbar dan menasihati beliau jangan buat demikian, Zuraida kemudian kata letak tiga agensi minyak sawit di bawah satu bumbung bukan bermakna mereka digabungkan. Kalau ini bukan maksud beliau, apakah maksud sebenar Zuraida dalam kenyataannya ‘di bawah satu bumbung’?

“Saya percaya Zuraida tahu MPOB, MPOC dan MPOCC sudah pun terletak dalam satu kementerian. Ini bermaksud ketiga-tiga agensi ini telah pun terletak di bawah ‘satu bumbung’,” katanya dalam kenyataan.

Teresa menegaskan, kepimpinan tertinggi dalam tiga agensi itu sudah bekerjasama rapat antara satu sama lain di bawah kementerian.

“Ini bermaksud pegawai atasan ketiga-tiga agensi minyak sawit kini memang berhubung rapat dan saling berkait di bawah kementerian. Bukankah ini bermaksud mereka sudah berada bawah satu bumbung?

“Memandangkan Menteri Zuraida berkata pemahaman Bahasa Inggeris saya lemah sehingga saya tidak faham maksud sebenar beliau dalam wawancaranya dan beliau mungkin juga tidak faham kenyataan saya dalam Bahasa Inggeris, jadi sekarang saya jawab dakwaan beliau dalam Bahasa Malaysia, dengan harapan beliau faham maksud saya bahawa MPOB, MPOC dan MPOCC memang telah lama berada ‘di bawah satu bumbung’ (under one roof),” katanya.

No comments: