Muda perlu hormat rakan kerjasama, jangan jadi liabiliti kepada PH






 

Parti Muda seharusnya berlapang dada dengan kemunculan pertamanya dalam pilihan raya setelah mendapatkan sejumlah kerusi daripada DAP dan Amanah.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Aizuddin Ariffin, presiden parti anak muda itu, Syed Saddiq tidak seharusnya terlalu mengungkit perundingan kerusi yang gagal dengan KEADILAN.

Hal itu, katanya, kerana KEADILAN telah menawarkan 3 kerusi namun Muda tidak mahu mencuba bertanding di kawasan luar bandar sebagaimana kemunculan KEADILAN dua dekad lalu yang tidak berkira sangat kerusi yang diberikan.

"Muda pimpinan Syed Saddiq gagal memberi kata putus sehingga mengheret beberapa siri rundingan terkait tiga kerusi yang ditawarkan oleh KEADILAN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac ini.

"Jika dibandingkan rundingan Muda bersama AMANAH dan DAP, begitu pantas perjanjian persefahaman 'sign MOU' dimeterai. Bukan itu sahaja, Muda mula pamerkan wajah sebenar apabila bersikap selektif dengan menolak kesemua kerusi ditawarkan KEADILAN yang dikategorikan bukan kerusi 'empuk', juga luar bandar di mana majoriti besar pengundi adalah di kalangan orang Melayu.

"Bukan saya sahaja dalam pimpinan AMK mengkritik pendekatan yang dibuat oleh Muda, termasuk persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua AMK Johor , saudara Yuneswaran dalam Thevibes, Why Muda not contest in rural seats?" katanya.

Selain itu, kata Aizuddin, Naib Ketua AMK Malaysia ,Thiban Subramaniam juga telah mengingatkan Muda agar merasai dahulu perit perjuangan dan bukan terus bercita cita menjadi Yang Berhormat.

"Saya sempat meniliti Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Parti orang Muda ini. Respon kepada kenyataan itu, saya membayangkan Muda akan menjadi beban kepada Pakatan Harapan. Sikap angkuh, 'play victim', gelojoh dan pandai mengugut hanya akan menjauhkan rakyat marhaen daripada menyokong Pakatan Harapan," katanya.

Katanya, KEADILAN telah belajar daripada beberapa siri keangkuhan pimpinan dalam PH yang tidak faham akan denyut nadi rakyat. Akhirnya rakyat mula menolak dan kepercayaan mereka mula terhakis. Seolah- olah kita lupa bahawa pangkat kekuasaan boleh lenyap dalam sekelip mata.

"Mendepani PRN Johor, PH bersama sama Muda sepatutnya sudah mula mengorak langkah dengan mengetengahkan isu rakyat di bawah yang perlu diangkat.

"Sebagai contoh, beberapa perkara yang diketengah oleh Ketua AMK Malaysia YB Akmal Nasir semasa peluncuran Jentera pilihan raya AMK Malaysia bagi PRN Johor.

"Antaranya beliau menyentuh soal kenaikan harga barang, kemiskinan haid, isu petani lokal, mahasiswa, juga perlindungan dan kebajikan yang cukup kepada anak muda yang ceburi ekonomi gig. Bukannya ,kita terus menerus terbeban dengan permainan politik yang memualkan seperti sekarang," katanya lagi.

Aizuddin khuatir ,polemik yang dimainkan Muda akan berterusan dan mencipta persepsi atau naratif negatif sehingga rakyat terus menolak Pakatan Harapan.

Katanya, dari pendapat rakyat kebanyakannya berkata "Umno BN atau PN bukannya kuat sangat, tapi persepakatan pembangkang yang tidak kuat".

Persepsi seperti itu, tegas Aizuddin menghakis keyakinan rakyat kepada pembangkang.

 

No comments: