Polemik, wacana kurang tekankan masalah kemiskinan luar bandar - Anwar


 

Masalah kemiskinan luar bandar masih lagi 'real' selepas 60 tahun negara merdeka.

Namun, menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim masalah tersebut tidak banyak dibincangkan dalam majlis ilmu, perdebatan atau polemik di Kuala Lumpur.

Katanya, perlu diambil pendekatan baharu dalam usaha untuk mengurangkan kemiskinan luar bandar.

"Bagi saya kita kena fokus masalah kemiskinan luar bandar dan desa.

"Saya terlibat banyak polemik dan wacana di Kuala Lumpur. Masalah kemiskinan luar bandar dan desa itu sedikit sekali dibincangkan, termasuk kongres ekonomi yang masa Pakatan Harapan anjurkan dahulu.

"Penekanan ini, dia ingat (kerajaan) angka sedikit kemiskinan, dikurangkan tetapi dia tak tahu masalahnya, kesihatannya, pendidikannya, masa depan, perumahan. Ini memerlukan satu perhatian," katanya dalam majlis kenduri rakyat mengenang peristiwa Baling 1974 tengah hari tadi.

Ditanya wartawan sama ada generasi muda hari ini berbeza atau harus sama dalam menanggapi kemiskinan luar bandar, Anwar berkata zaman telah berubah, namun perkara yang diperjuangkan harus sama dan perlu merakyat.

"Tentu zaman berbeza, tak semestinya semua harus lalui pengalaman kami, tetapi semua harus prihatin. Jangan hidup dalam ruang selesa dan berjuang dalam keadaan selesa.

"Sosial media saja, betul, boleh. Tetapi terjun ke bawah, mana program untuk masyarakat Melayu di kampung? Tak ada.

"Ini yang patut ditegaskan. Saya tegaskan kepada anak anak muda dan KEADILAN sendiri," katanya.

Majlis kenduri rakyat memperingati Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 itu bagi menghargai jasa pejuang pejuang yang berjaya mengangkat masalah kemiskinan luar bandar menjadi isu nasional.

Demonstrasi itu juga menjadi titik mula kepada perjuangan Anwar Ibrahim dalam mengangkat isu isu kemiskinan selepas ditahan tanda bicara selama hampir 2 tahun. Peristiwa Baling juga memulakan perjuangan mahasiswa yang kristis terhadap isu isu semasa tanah air selama berdekad dekad kemudiannya.