Gempar! Tim Leissner mengaku bantu curi berbillion dollar dana 1MDB

 


Gempar! Tim Leissner mengaku bantu curi berbillion dollar dana 1MDB


Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, yang mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), memberi keterangan dia turut mencuri puluhan juta dolar daripada rakan jenayah dalam penipuan itu.

Leissner, 52, yang juga saksi utama kerajaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, memberi keterangan itu semalam di mahkamah di Brooklyn, New York.

Katanya, ‘sebahagian besar’ daripada AS$6.5 bilion (RM27.3 bilion) diperoleh melalui tiga perjanjian bon 1MDB yang dibuat bersama Ng digunakan untuk membayar sogokan dan rasuah kepada pegawai di Malaysia serta Abu Dhabi.

Namun, menurut Leissner, wang sogokan bernilai AS$60 juta (RM252 juta) yang disimpan untuk dirinya sendiri tidak mencukupi.

Apabila pembiaya dari Malaysia, yang juga dalang skandal itu, Jho Low, memintanya ‘memegang’ 145 juta Euro (AS$162 juta) dalam sebuah syarikat di Mauritius, beliau melihatnya sebagai satu peluang.

Disebabkan kebanyakan wangnya dilaburkan dalam aset tidak cair, Leissner memberitahu juri dia menyimpan AS$80 juta (RM336 juta) untuk dirinya, sendiri selain turut meminjam AS$1.25 juta (RM 5.25 juta) daripada Ng.

Leissner berkata, penahanannya pada 2018 menghalang beliau membayar balik wang berkenaan kepada Ng.

“Saya mempunyai niat untuk membayarnya kembali dari semasa ke semasa tetapi tidak mendapat peluang,” katanya kepada juri.

Untuk rekod, Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan bersetuju untuk bekerjasama dengan harapan dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.

Pada perbicaraan hari keempat, beliau memberi keterangan dalam perbicaraan yang menyelidik kehidupan peribadinya termasuk bagaimana dia berbohong, mencuri dan menipu.

Leissner berkata dia menggunakan sebahagian wang yang dicuri daripada Jho Low untuk membeli bot bernilai AS$50 juta (RM210 juta), sebahagian pasukan bola sepak Inter Milan dan pangsapuri di 68th Street serta Madison Avenue, Manhattan.

Sebahagian wang turut digunakan sebagai bayaran pendahuluan sebuah rumah di Los Angeles, yang dikongsi dengan isterinya, Kimora Lee Simmons, seorang bekas model antarabangsa.

Selain itu, dia juga melabur dalam syarikat multimedia, All Def Digital Inc dan syarikat minuman tenaga, Celsius Holdings Inc.

Leissner dijangka menyambung semula keterangannya, Isnin depan.



No comments: