Calon KEADILAN DUN Larkin fokus isu kos sara hidup, pemilikan tanah


 

Calon KEADILAN DUN Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain akan fokus memperjuangkan isu berkaitan kos sara hidup penduduk di bandar yang menghadapi gelombang kenaikan harga barang.

Bercakap dalam sidang media pagi tadi, Dr Zamil berkata, kenaikan harga menyebabkan golongan B40 mengalami masalah sama ada memberi makanan cukup gizi kepada anggota keluarga, mahu pun rawatan perubatan.

"Saya rasa dalam 6 bulan ini beberapa kali barang naik. Kalau duduk di Johor Bahru mereka lagi banyak terkesan

"Saya nampak beban kos sara hidup makin meningkat. Kita doktor yang praktis (membuka klinik) di swasta nampak patern itu. Kalau harga barang, kita tahu harga ayam (melambung), saya rasa golongan ini kita perlu bantu. Terutama golongan miskin bandar," katanya.

Dr Zamil juga berjanji akan memperjuangkan isu hak milik tanah pajakan yang didiami oleh banyak keluarga di Larkin dan Majidee.

Katanya, hak pemilikan sesetengah penduduk semakin cukup tempoh pajakan dan hal berkenaan perlu diselesaikan oleh Kerajaaan Negeri bagi memudahkan generasi seterusnya menetap di kawasan berkenaan.

"Saya akan perjuangkan (isu hak milik tanah). Saya rasa masalah ini terlalu lama, isu tanah pajakan yang berbangkit generasi kedua akan berasa serba salah nak duduk sini, atau keluar ke tempat lain," katanya lagi.