Najib dalam senarai sogok Jho Low, kata Leissner

 

Bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner berkata, Jho Low mampu mendapatkan penjamin daripada dana kekayaan Abu Dhabi.

PETALING JAYA: Juri di Amerika Syarikat diberitahu, Low Taek Jho yang dikatakan dalang skandal 1MDB menyatakan Najib Razak dan seorang sheikh Arab Saudi antara pegawai yang perlu dibayar untuk mendapat kelulusan mengumpul dan membelanjakan berbilion dolar dana 1MDB.

Bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, menerangkan sistem pembayaran itu kepada juri di Brooklyn, New York, pada Rabu, lapor Bloomberg.

Leissner mendedahkan satu pertemuan di rumah Low di Mayfair, London, di mana ahli perniagaan buruan itu menamakan individu yang menurutnya perlu disogok.

Dalam senarai itu ialah pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi, termasuk Najib yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Leissner memberitahu juri, Low menyatakan sheikh itu enggan berganjak daripada USD100 juta.

Sheikh Mansour tidak didakwa melakukan sebarang salah laku oleh AS. Pejabat media kerajaan dan Kementerian Luar UAE tidak menjawab permintaan Bloomberg untuk mengulas.

Leissner memberi keterangan terhadap Ng, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang, konspirasi dan rasuah. Leissner mengaku bersalah pada 2018 dan kerjasamanya dalam perbicaraan mungkin boleh meringankan hukumannya.

Pertemuan yang didedahkan Leissner itu berlaku pada 2012, tidak lama sebelum Goldman mula berusaha mengumpul USD1.75 bilion untuk 1MDB.

Leissner dalam keterangannya berkata, 1MDB memerlukan penjamin luar untuk hutang itu, dan Low boleh mendapatkan jaminan itu daripada dana kekayaan Abu Dhabi dan anak syarikatnya.

Leissner memberitahu mahkamah, dalam pertemuan itu, Low mengeluarkan sekeping kertas dan “mula melukis petak”. Di satu bahagian kertas itu adalah beberapa petak untuk pegawai Malaysia yang perlu disogok dan satu lagi bahagian ialah petak bagi pegawai Abu Dhabi.

Menurut Leissner, Low memaklumkan di peringkat atas, bayaran kepada pihak Malaysia dan Abu Dhabi dalam perusahaan jenayah itu “mesti sama dan dianggap sama”.

“Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu mendapat USD100 juta. Saya tidak boleh kata saya terkejut,” katanya dipetik Bloomberg sambil menambah berdasarkan pengalamannya dalam pasaran baharu muncul selama bertahun-tahun, rasuah dan sogokan kadangkala dikaitkan dengan projek membabitkan pegawai kerajaan.

Leissner dalam keterangannya berkata, di akhir pembentangan, Low memberitahu beliau dan Ng akan “dijaga”.

“Saya tentunya gembira kerana saya akan dapat wang tambahan. Saya mahu cari lebih banyak wang, walaupun saya dibayar gaji tinggi di Goldman Sachs,” katanya kepada juri.

No comments: