Isu masuk Islam kanak-kanak bawah umur wajar rujuk Majlis Raja-raja, kata Mufti P Pinang

 

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata langkah merujuk isu itu kepada Majlis Raja-raja selari kedudukan agama Islam sebagai ‘agama persekutuan’ seperti tercatat dalam Perlembagaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Isu pengislaman kanak-kanak yang memperlihatkan percanggahan antara keputusan Mahkamah Persekutuan dan hukum Islam wajar dirujuk kepada Majlis Raja-raja untuk memperoleh penyelesaian terbaik, kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor.

Wan Salim juga berkata sesiapa yang tidak berpuas hati berhak menggunakan proses perundangan untuk menyemak semula keputusan tersebut.

Pengislaman tiga anak Loh Siew Hong tanpa kebenarannya oleh Jabatan Agama Islam Perlis menjadi polemik setelah pelbagai pihak menyatakan tindakan itu bercanggah keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018, yang menetapkan kebenaran ibu dan bapa wajib untuk menukar agama anak bawah umur.

Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin, menegaskan pengislaman itu dilakukan dengan kebenaran bapa tiga beradik itu yang berusia 10 dan 14 tahun, sekali gus menepati undang-undang syariah negeri itu.

Wan Salim akur keputusan Mahkamah Persekutuan “didapati bercanggah” dengan hukum Islam yang menetapkan agama kanak-kanak yang belum “mumayyiz” mesti mengikut agama bapanya yang beragama Islam, manakala yang mencapai umur “mumaiyyiz” bebas memilih agama ingin dianutinya.

“Mumayyiz” merujuk seseorang yang mampu membezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara.

“Dalam kes yang berbangkit sekarang, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan penukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun hendaklah mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, walaupun tafsiran (syariah) antara negeri berbeza berpunca daripada perkataan ‘parent’ di dalam bahasa Inggeris (dalam Perlembagaan),” kata Wan Salim.

“Maka saya berpandangan, cara terbaik untuk menyelesaikan percanggahan ini adalah negeri-negeri merujuk kepada Majlis Raja-raja memandangkan ke bawah Duli-duli Tuanku adalah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.”

Beliau berkata langkah merujuk isu itu kepada Majlis Raja-raja juga selari kedudukan agama Islam sebagai “agama persekutuan” seperti tercatat dalam Perlembagaan.

No comments: