Dulu dituduh jadi terompah DAP, sekarang Pas lebih teruk dari Umno
Tuduhan kononnya Parti Muda dan AMANAH dicipta oleh DAP seperti dilemparkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang amat menghairankan.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, sebelum ini musuh Pas yang menuduh parti hijau tersebut sebagai ‘terompah DAP’.
Sebaliknya, bidas Ahli Parlimen Kota Raja itu, Pas pula sekarang melontarkan tuduhan sama terhadap musuh politiknya dengan mengaitkan dengan DAP.
“Kalau tuduhan itu dari Pas, saya cukup hairan kerana tahun 2008 hingga 2013, Pas dituduh sebagai terompah DAP, terompah Lim Kit Siang.
“Tuduhan itu dibuat oleh musuh Pas tapi sekarang Pas pula buat tuduhan sama,” katanya dalam Bicara Semasa menerusi saluran Jom Channel malam tadi.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas menyifatkan parti komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) tersebut sebagai lebih teruk berbanding Umno.
“Bagi saya, Pas lebih teruk daripada Umno yang mereka serang dulu. Sekarang ini mereka sudah tidak ada prinsip.
“Saya pun rasa pelik bin ajaib apa yang sedang berlaku dalam Pas walaupun itu bekas parti saya,” katanya.
Beliau turut berpendapat tindakan Pas yang menggunakan sentimen kaum dengan mencanangkan bahayanya DAP itu sebagai usaha menarik sokongan pengundi Melayu.
“Mereka tahu serangan perkauman ini lebih mudah untuk memancing orang Melayu khususnya untuk menyokong parti pemerintah,” tambah Mohamad lagi.
Pada 18 Februari lalu, Abdul Hadi ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong pada majlis pelancaran jentera PN di Kota Tinggi, Johor berkata, Muda diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman merupakan ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.
Ahli Parlimen Marang berkenaan turut menyamakan Muda seperti AMANAH yang didakwa juga ditubuhkan oleh DAP.
“AMANAH itu DAP yang buat. Saya tahu dia ambil orang Pas buat AMANAH. Sekarang, Muda ini pun DAP juga. Tak apalah.
“Untuk umpan pancing anak muda orang Melayu. Ingat jangan makan umpan,” kata Abdul Hadi lagi.