Amiruddin Ahmad


Peningkatan jangkitan harian kes Covid 19 yang melepasi 31,000 semalam sepatutnya menyegerakan Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan langkah berjaga jaga baharu menghadapi pandemik berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, kerajaan pula seharusnya memantau dengan rapi kes dalam tempoh seminggu akan datang supaya tidak berlaku lebih banyak jangkitan.Amaran harus diberikan dan langkah drastic perlu dilakukan supaya rakyat berwaspada dan tidak ambil ringan tentang kes jangkitan  dan kematian yang meningkat.

"Jangkitan dalam tempoh lima hari sebelumnya berlegar sekitar purata 27,000 kes, menunjukkan peningkatan kes baharu. Tetapi lonjakan semalam melepasi 31,000, benar benar merupakan satu puncak baharu.Malahan kebimbangan peningkatan dan penutupan beberapa sekolah perlu dipandang serius oleh kementerian Kesihatan dan Pendidikan.

"Kesimpulannya, pengumpulan data kerajaan perlu diperbaiki (agar lebih terkini) dan orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam 7 hari akan datang. Sistem kesihatan kita masih mampu menghadapi gelombang Covid dengan baik tetapi akan ada hadnya untuk apa yang boleh kita hadapi," katanya.

Justeru, Wong Chen mencadangkan agar Malaysia membuat perbandingan kes Covid di negara ini dan serantau, dengan meletakkan Korea Selatan sebagai kayu ukur perbandingan.

"Sebagai perbandingan, Korea Selatan yang mempunyai 51 juta penduduk berbanding kita 32 juta, mencatatkan 170,000 kes baharu semalam.

"Ambil perhatian kadar vaksin penuh Korea Selatan sebanyak 85.6% adalah lebih tinggi daripada Malaysia 79.5%. Sistem kesihatan Korea Selatan masih mampu mengatasi (peningkatan kes) tetapi terdapat rasa bimbang yang jelas.

"Menggunakan Korea Selatan sebagai model, Malaysia perlu mula menganggarkan berapa had (kemampuan) kita dan kemudian kerajaan dan rakyat perlu bekerjasama untuk membendung penyebaran di bawah had itu," katanya lagi.

Dengan 31,199 kes baharu direkodkan semalam gelombang Omicron telah berada di kemuncak baharu namun malangnya kerajaan melalui KKM tidak mengeluarkan amaran terbaharu atau mengumumkan langkah berjaga jaga tahap jingga sebagaimana diharapkan.

 

 

No comments: