SATUKAN SELURUH KEKUATAN HADAPI PRN JOHOR – ANWAR

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor ini adalah satu tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana Pilihan Raya Umum ke-15 segera.

Pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak COVID-19, dan banjir, PRU Johor akan amat membebankan rakyat.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU Johor. Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti Pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Memandangkan wabak COVID-19 di Malaysia sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif COVID-19 serta jumlah kemasukan ke hospital yang agak stabil, dan jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80% dan dos penggalak lebih 30%, Pakatan Harapan berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya perlu memperbetul Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kempen PRU Johor ke-15 bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Ini termasuk:

1) Membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah-ke-rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP;

2) Akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan ruangan cetak (akhbar, media online);

3) SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, UK, US, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik; dan

4) Tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari.

Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan Pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRU Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang telah diperolehi pada PRU-14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah Kerajaan Negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)